18 June 2019

PENYANYI & PELAKON SINGAPURA DITAHAN - RAJA YUNIKA PUTRI ENGGAN TARIK BALIK


Pelakon dan penyanyi lelaki Singapura yang popular di Malaysia itu kini dipercayai sudah ditahan polis Singapura selepas dikatakan mencuri sejumlah wang milik pelakon Indonesia, Raja Yunika Putri. Perkara itu dimaklumkan Raja Yunika kepada Harian Metro, hari ini.





"Keluarganya ada menghubungi saya bertanya apa yang boleh saya bantu bagi mengeluarkan artis itu daripada tahanan," katanya yang turut memberitahu setakat ini dia belum memberi sebarang maklum balas kepada keluarga artis terbabit dan kekal dengan pendirian tidak mahu menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Terdahulu, Raja Yunika mendakwa artis terbabit mencuri sejumlah wang dari beg tangannya ketika mereka bertemu di sebuah restoran Jepun di Singapura pada 7 Jun lalu. Raja Yunika berkata, artis terbabit menghubunginya dengan menghantar mesej merayu supaya dia menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya. Bagaimanapun, atas nasihat beberapa pihak, Raja Yunika tetap meneruskan laporan itu.

"Pada awalnya, dia tidak percaya dan mencabar saya membuat laporan polis. Namun, apabila laporan dibuat dan pihak polis memanggilnya untuk siasatan, barulah dia mengaku perbuatannya. Dia merayu saya menarik balik laporan polis tapi atas nasihat beberapa pihak, saya tetap teruskan," jelasnya.

Malah, ramai tertanya-tanya bagaimana Raja Yunika mendapat bantuan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas dia menjadi mangsa kecurian dipercayai dilakukan artis lelaki di Singapura pada 7 Jun lalu. Portal berita haluankepri.com kelmarin melaporkan Syed Saddiq membantu Raja Yunika hingga kes itu mendapat perhatian Atase Nasional Polis Singapura, Joko Setiono.

Klik untuk gambar besar


Raja Yunika ketika dihubungi menjelaskan, dia sudah lama mengenali Syed Saddiq dan pasukannya kerana pernah terbabit dalam pelbagai kegiatan pembangunan anak-anak muda di negara Asean: "Saya sudah lama mengenali beliau kerana organisasi kami sering bertukar pandangan mengenai pembangunan anak-anak muda di rantau ini. Saya berterima kasih kepada beliau kerana membantu memberikan pandangan mengenai insiden yang berlaku tempoh hari".

Dalam pada itu, Raja Yunika turut menafikan kejadian itu berlaku di sebuah kelab malam, tetapi di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura. Katanya, ketika itu dia datang ke restoran itu untuk bertemu dengannya atas urusan kerja dan meminta nasihat mengenai peluang untuk mengembangkan bakatnya di Indonesia.

Menceritakan kejadian itu, Raja Yunika berkata, dia ke kaunter untuk membayar bil dan meminta artis lelaki terbabit menjaga beg tangan yang ditinggalkan di atas meja: "Selepas itu saya terus ke tandas dengan membawa telefon saja. Sebaik saya kembali ke meja, saya dapati dia sudah tiada dan sejumlah wang di dalam beg tangan sudah hilang. Apabila saya menghubunginya dan bertanya mengenai perkara itu, dia menafikannya".

Menurut Raja Yunika, dia mula mengenalinya menerusi Instagram sebelum Ramadan lalu. Artis terbabit kemudian meminta bantuannya mengenai peluang mengembangkan kerjaya seninya di Indonesia. Katanya, dia bersetuju untuk membantu penyanyi itu kerana selain terbabit dalam bidang politik di Indonesia, Raja Yunika turut aktif membantu anak-anak muda melalui pelbagai program motivasi di Indonesia dan rantau Asean.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: