14 June 2019

"SAYA OKAY & SAKIT SIKIT SAHAJA" - KARTINA AZIZ LEGA KELUAR HOSPITAL


Semalam, pelakon veteren Kartina Aziz, 64, telah ditahan di Hospital Sungai Buloh selama beberapa jam. Kartina yang popular menerusi watak 'Mami Jarum' ketika dihubungi berkata, dia menyedari sesuatu yang pelik pada percakapannya selain berasa lemah badan selepas waktu subuh semalam. Menurutnya, dia kena membuat latihan percakapan yang banyak selain memerlukan rehat secukupnya.





"Alhamdulillah, saya okay dan sakit sikit sahaja. Jangan risau. Buat masa ini doktor memaklumkan saya ada 'mild strok' saja. Apapun, perlu buat pemeriksaan lanjut lagi hari ini. Selepas subuh semalam, saya berasa lain macam apabila bercakap. Jadi, saya memaklumkan anak dan minta mereka dengar percakapan saya. Mereka cadangkan saya untuk pergi ke hospital buat pemeriksaan. Jadi, mereka bawa saya selepas subuh.

"Pemeriksaan awal, doktor cakap saya tidak ada tanda strok pun. Sebab hasil ujian CT-scan pun tidak jumpa tanda. Cuma, disebabkan saya beritahu percakapan menjadi tak betul sikit, itu yang dalam rekod doktor menjangkakan saya kena 'mild strok'. Namun, mereka masih mencari punca sebenar. Insya-Allah, hari ini saya kena pergi hospital semula untuk pemeriksaan jantung pula," katanya.

Bagaimanapun, Kartina berasa lega apabila dibenarkan keluar malam semalam dan berterima kasih kepada rakan yang menghantar mesej bertanyakan khabar. Malah, Kartina berkata dua anaknya memberikan kata-kata semangat dan tidak mahu dia berasa lemah dengan masalah kesihatan itu.

"Terima kasih atas doa semua orang. Kepada rakan yang bertanya semalam, saya minta maaf sebab tidak dapat nak membalas satu persatu. Telefon bimbit saya kehabisan bateri. Saya minta semua tenang. Terima kasih sebab ambil berat. Walaupun tak jumpa pada hari biasa, saya ada dalam hati mereka. Mereka ingat saya. Kalau mungkin ini sudah masa saya diberi ujian, anak cakap saya kena kuat dan lawan. Paling penting, saya kena sentiasa positif," tuturnya.

Dalam masa sama, Kartina yang terbabit dalam drama Utusan Cinta Buat Adam akan kembali ke lokasi penggambaran esok: "Sepanjang Ramadan lalu saya sibuk di lokasi penggambaran. Selepas cuti raya, esok masuk set semula. Karakter saya pula berat. Insya-Allah, saya doa dan ikhtiar sebaiknya".


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: