01 June 2019
"TAK SANGKA.... TAKDIR SAYA KAHWIN DENGAN ORANG MUDA" - EMMA AKMA
Tahniah kami ucapkan kepada pelakon Emma Akma atas pernikahannya dengan dengan pasangannya, Anasz Razak pada jam 10.30 pagi semalam. Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Kariah Masjid Selayang Baru, Ustaz Abdul Rashid Hashim. Emma mengakui tidak pernah serik untuk kembali berumah tangga selepas melalui kegagalan perkahwinan terdahulu.
"Siapa kita untuk menidakkan takdir Ilahi. Jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah dan saya tidak menolak apabila bertemu jodoh semula. Siapa yang nak berkahwin dan kemudian bercerai? Tak dinafikan saya kerap ditanya soalan begini. Tapi seperti saya kata tadi, siapalah kita untuk menolak ketentuan takdir.
"Ini jodoh saya dan perlu menerimanya dengan hati terbuka. Sebenarnya selepas perkahwinan terdahulu, saya ingat takkan bertemu jodoh lagi. Namun rupa-rupanya Anasz pilih saya dan bersyukur kerana ada jodoh lagi. Dia pun tahu kisah saya yang kahwin cerai, kahwin cerai, tapi menerimanya dengan hati terbuka," tuturnya.
Klik untuk gambar besar
Emma berkata, dia mula berkenalan dengan suaminya sejak 2009 lagi. Katanya, Anasz bekerja dalam bidang pengurusan acara dan mereka sudah berkenalan sejak 2009.
"Ikutkan saya dah lama rapat dengan keluarganya termasuk emaknya. Sebelum ini pun saya dah panggil emaknya dengan panggilan emak. Saya tak pernah jangka dia akan pilih saya. Inilah yang dikatakan jodoh. Sejak April lalu, dia mula mengajak saya kahwin. Beza umur 16 tahun bukan alasan untuk dia sukakan saya," katanya.
Menurutnya, perkahwinan mereka dibuat berlandaskan sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa majlis besar-besaran: "Kami hanya mendaftarkan nikah dan tak bercadang buat majlis kenduri. Tak sangka jodoh depan mata dan saya lega segalanya berjalan dengan baik.
"Insya-Allah saya akan jadi isteri yang baik. Allah sudah aturkan perjalanan hidup saya. Umur bukan penghalang kalau dah jodoh. Mungkin takdir saya kahwin dengan orang muda. Harapnya masyarakat tak mudah pandang serong dan mengecam kerana saya tak kuat untuk menghadapinya," ujarnya.
Bercerita mengenai karier seni, Emma memberitahu, dia sudah lama kemarau tawaran berlakon sekarang: "Lakonan terakhir saya ialah menerusi drama 'Arjuna Cinta Keisha' terbitan Bright Network Sdn Bhd, Oktober tahun lalu. Selepas itu saya langsung tiada tawaran berlakon. Mulanya saya hairan juga, tapi cuba positifkan diri fikir belum ada rezeki," jelasnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Emma Akma
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment