11 June 2019
TARIKH NIKAH - NADIA BRIAN TERPAKSA TUNDA & MAMAT SEPAH TANGGUH 2 KALI
Tarikh majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung pada 19 September depan nampaknya terpaksa ditunda, pelakon Nadia Brian atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, berkata, dia dan tunangnya, Muizz Nasruddin terpaksa mencari tarikh baru kerana lokasi sudah penuh.
"Kami terpaksa tunda kerana belum ada lokasi. Sebelum ini, kami memilih 19 September kerana tarikh itu dirasakan menarik. Kami hanya mampu merancang," katanya yang menyertai kursus perkahwinan sebagai persediaan awal sebelum melangkah ke alam rumah tangga, Ramadan lalu.
Nadia yang mengikat tali pertunangan dengan Muizz selepas berkenalan selama dua tahun dan pada Februari lalu dilamarnya di Kota Paris memberitahu, dia dan bakal suaminya enggan terlalu memikirkan perkara itu dan kemungkinan majlis akan diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan.
"Sebenarnya, saya dan tunang tak kisah sangat mengenai tarikh atau angka. Sekarang, kami masih lagi melakukan beberapa persediaan awal. Insya-Allah, sekiranya semuanya berjalan lancar, majlis perkahwinan kami akan berlangsung pada hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya.
Klik untuk gambar besar
Nadia mengakui memegang kata-kata rakannya, Fasha Sandha yang memberikan tip sebelum melangkah ke alam perkahwinan: "Fasha Sandha antara artis yang memberikan nasihat dan tip kepada saya mengenai perkahwinan. Katanya, nikmati fasa bertunang kerana dalam fasa inilah akan ada banyak cabaran dan dugaan," ujarnya.
Sementara itu, pelawak Mamat Sepah pun turut terpaksa menangguhkan hasrat berkahwin sebanyak dua kali sejak Mac lalu disebabkan kesibukan bekerja. Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Noor Murad memberitahu, rancangan bernikah Mac lalu ditangguh kepada April berikutan sibuk dengan beberapa projek di bawah syarikat pengurusan acara miliknya, Mamat Sepah Entertainment.
"Hendak dijadikan cerita, niat berkahwin April lalu terpaksa ditangguhkan pula. Ini kerana saya terbabit dengan kerja pembikinan filem Remp-It 2. Sudah dua kali saya menunda tarikh perkahwinan... Mestilah tunang saya tidak senang hati, namun selepas diberi penjelasan, Alhamdulillah, dia faham kerjaya saya.
"Kami belum menetapkan tarikh, namun, biarlah berlangsung tahun ini. Saya lega keluarga kedua-dua belah pihak juga faham," jelas Mamat yang mengikat tali pertunangan dengan seorang pegawai polis berasal dari Sabah, tahun lalu.
Mengenai kerjaya seni, Mamat berkata, dia menolak banyak tawaran berlakon kerana jadual yang tidak mengizinkan. Akuinya, fokus lebih banyak diberi kepada operasi syarikat pengurusan acara yang diusahakan berikutan minat terhadap bidang lakonan semakin pudar.
"Saya terbabit dalam filem Remp-It kerana diajak Zul Huzaimy yang juga Presiden Kelab Permotoran Spark Malaysia. Saya pula Presiden untuk negeri Johor. Filem ini mengisahkan dunia permotoran yang saya minati. Jadi, ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan. Apatah lagi, saya dapat berlakon di bawah arahan Zul," katanya yang mengaku dirinya 'mat rempit' sebelum bergelar artis.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Berita Harian, Instagram Nadia Brian & Mamat Sepah
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment