05 July 2019

AMELINA MAHU LELAKI BERTEMU KELUARGANYA DAHULU, BUKTIKAN KEIKHLASAN


Mengakui lebih selesa jika lelaki yang mahu mendekati terlebih dahulu berkenalan dengan keluarganya bagi membuktikan keikhlasan dalam menjalin hubungan, penyanyi Amelina berkata, walaupun ramai yang mencuba nasib untuk memenangi hatinya, hanya seorang yang berani berkunjung ke kampung untuk bertemu ibu dan anaknya.





Masih membiarkan status hubungannya menjadi teka-teki, ratu dangdut itu bagaimanapun, berkata lelaki pilihannya itu bukan suami orang: "Sebagai ibu tunggal, saya berpendapat, jika lelaki itu serius mahu berkawan, lebih baik dia datang ke rumah tanpa perlu menunggu saya membawanya.

"Bukan apa, dengan status dan usia sekarang, rasanya lebih molek kalau dia berkenalan dahulu dengan ibu dan anak kerana mereka ialah keutamaan dalam hidup saya. Sebelum ini, ramai lelaki yang ingin kenal, tetapi hanya seorang yang berani singgah ke rumah tanpa disuruh. Dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya sekarang," katanya yang belum bersedia mendedahkan identiti jejaka dimaksudkan.

Klik untuk gambar besar


Pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin, 44, itu, bercerai dengan usahawan, Reduan Mahamood pada 2016 selepas lebih 15 tahun hidup bersama. Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur' Athirah, 18, Putera Al' Affiq, 17, Putera Al' Asyraff, 16, Puteri Nur' Asyurah, 15, Putera Al' Arffa, 13 dan Putera Al' Amzar, 11.

Lebih selesa berkongsi hal kerjaya, dalam nada teruja Amelina mengakui, dia semakin seronok meneroka dunia lakonan sejak kembali aktif. Kesibukan memenuhi undangan persembahan tidak menghalangnya ke lokasi penggambaran untuk mencari rezeki.

"Saya baru selesai membintangi drama 'Mak Cun', membawa watak janda bernama Kamsiah iaitu jiran Mak Cun yang kepoh. Semua itu berlaku atas dorongan syarikat pengurusan, MindOrder yang menaruh keyakinan saya mempunyai bakat sebagai pelakon, di samping memenuhi undangan nyanyian," ujar Amelina yang baru tampil dengan single 'Janda Anak Enam' itu, sejak bernaung di bawah MindOrder, Ogos tahun lalu, kerjaya seninya semakin berkembang.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Amelina


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: