03 July 2019

BENTAN KETIKA PANTANG - DYNAS ENGGAN LAYAN KOMEN NEGATIF, TAKUT 'MEROYAN'


Komen netizen berhubung masalah bentan yang dihadapi selepas melahirkan anak ketiga, Mei lalu, dan percaya terkena selepas mencampurkan serai dalam makanan, pelakon Dynas Mokhtar bimbang berdepan risiko 'meroyan' jika terus melayan.





"Ada sahaja kata-kata negatif dilayangkan seolah-olah mereka (netizen) lebih tahu mengenai situasi dialami. Jadi, saya memilih untuk menyekat akaun yang berpotensi meninggalkan komen berbaur negatif. Bukan apa, saya masih berpantang. Jika tersilap langkah boleh membuatkan diri meroyan kerana hormon pun kurang stabil.

"Lebih baik saya tidak membaca perkara negatif kerana reaksi seumpama itu berterusan jika dibiarkan," kata Dynas yang mengaku terkejut membaca komen yang dilayangkan golongan remaja termasuk pelajar sekolah berhubung masalah bentan yang dihadapinya pada hari ke-35 berpantang.

Klik untuk gambar besar


Namun, bintang filem 'Tombiruo: Penunggu Rimba' itu mengaku ada perkongsian positif diterima mengenai keadaannya. Mengulas mengenai kehadiran permata hati, Edriel Obil, Dynas mengaku agak kekok selepas kali terakhir melahirkan anak kedua, kira-kira tujuh tahun lalu.

"Apabila suami bertanya mengenai perkembangan dan cara menjaga bayi, banyak yang tidak boleh dijawab. Ini kerana saya sudah terlupa. Suami memberi buku bagi mengingatkan kembali fakta mengenai bayi. Alhamdulillah, suami banyak membantu menjaga Obil yang masih kecil.

"Apatah lagi, dia adalah cucu pertama dalam keluarga mentua. Kehadirannya menyerikan keluarga kecil kami," ujarnya yang berkahwin dengan pengusaha ladang ayam, Shazrik Din, tahun lalu, selepas empat tahun bergelar ibu tunggal kepada dua anak iaitu Khayra Khalyssa, 9, dan Mohamed Haqaish, 7, hasil perkahwinan pertama.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Dynas Mokthar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: