03 July 2019

TERCALON 'MOST ADMIRED LEADERS' - SUFIAN HARAP DAPAT BANGGAKAN MALAYSIA


Dipilih sebagai penerima anugerah 'Most Admired Leaders' (Pemimpin Paling Dikagumi) bagi kategori hiburan di Asia Awards 2019 yang akan berlangsung di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur 26 Ogos ini, penyanyi Sufian Suhaimi, 27, berkata, pada mulanya dia tidak percaya apabila menerima emel berkenaan yang disangka skim penipuan, namun ternyata anugerah itu memang ada.





"Saya ingatkan ia skim penipuan. Rupa-rupanya anugerah itu memang ada. Selepas mereka menceritakan secara terperinci kepada saya mengenai anugerah itu, barulah saya tahu. Yang pasti, saya bersyukur terpilih sebagai satu daripada penerima kategori itu. Ada beberapa calon penerima lain berdasarkan bidang masing-masing dan saya terpilih untuk kategori hiburan," katanya.

Difahamkan, Sufian merupakan wakil tunggal dari Malaysia yang tercalon dalam anugerah berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global yang turut menyaksikan pencalonan 100 individu lain dari seluruh Asia.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Di Matamu' itu juga berharap dapat membanggakan rakyat Malaysia dengan penghargaan di peringkat antarabangsa itu: "Saya sangat berbesar hati dapat menerima anugerah di peringkat antarabangsa mewakili negara. Saya berharap anugerah ini akan meletakkan nama Malaysia di peta dunia".

Klik untuk gambar besar


Menurut Suhaimi, dia tidak menolak kejayaan itu merupakan impak daripada lagu 'Di Matamu' yang pernah mencatatkan kejayaan tersendiri dengan merangkul anugerah Persembahan Terbaik dalam penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33).

Selain diiktiraf AJL, lagu berkenaan turut mencatatkan rekod tontonan tertinggi di YouTube dan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records. Sehingga kini 'Di Matamu' mencatatkan 60 juta tontonan di laman web video itu.

Asia Awards 2019 yang dianjurkan Herald Group merupakan sebuah portal berpengaruh, berpusat di Mumbai, India itu akan diadakan sempena Malaysia Global Business Symposium 2019. Penganjuran anugerah itu merupakan komitmen Herald Global dan ERTC Media untuk menghargai pencapaian setiap individu daripada pelbagai bidang.

Anugerah tersebut diadakan bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada individu yang berjaya mengukir nama dalam industri pembuatan, rekaan dan keusahawanan atas usaha kepimpinan serta memberikan inspirasi kepada masyarakat.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Kosmo & Instagram Sufian Suhaimi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: