03 July 2019

ISU BERLIAN - AISHAH TUNTUT DSV BAYAR RM80,000 SEBELUM 17 JULAI INI


"Saya diberi hak sepenuhnya memilih barangan berlian asli berjumlah RM80,000 di sebuah kedai emas di Bangsar. Pemilihan barangan kemas ini sudah pun dibuat selepas proses mediasi lalu dan Vida perlu membayarnya paling lewat 17 Julai ini. Kami juga mahu beliau membuat permohonan maaf secara terbuka dengan mengadakan sidang media khas pada atau sebelum tarikh itu.





"Permohonan maaf spesifik perlu dinyatakan sewaktu sidang media itu. Selain itu, beliau juga perlu membayar kos sebanyak RM7,500 ke akaun peguam cara saya pada atau sebelum 7 Julai ini," kata penyanyi Aishah pada sidang media penjelasan kes belian yang turut dihadiri dua peguamnya Mohammad Izwan Azmi dan Mazniza Mohd Kamil di ibu negara, hari ini.

Bekas juara program Gegar Vaganza musim ke4 (GV4) itu menuntut usahawan Datuk Seri Vida menggantikan berlian asli berharga RM80,000 pada atau sebelum 17 Julai ini selain diminta membuat permohonan maaf secara terbuka. Aishah atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, berkata itu antara butiran penghakiman persetujuan yang dibuat dalam proses mediasi pada 1 Julai lalu rentetan kemelut dakwaan hadiah berlian palsu diterimanya.

Dalam pada itu, Mohammad Izwan berkata, kes berkenaan berjaya diselesaikan menerusi mediasi di antara kedua belah pihak di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin lalu. Menurutnya, tuntutan mengikut persetujuan itu juga perlu dilunaskan Vida mengikut tarikh ditetapkan.

Klik untuk gambar besar


"Sekiranya Vida gagal memenuhi kesemua persetujuan terbabit sebelum tarikh ditetapkan, kami akan mengambil tindakan undang-undang mengikut pelaksanaan mahkamah," jelasnya.

Sementara itu, Aishah berkata, proses mediasi telah berlangsung dengan penuh profesional antara peguam dan DSV: "Tidak ada insiden tarik tudung. Semuanya telah selesai dengan baik dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak," ujarnya.

Terdahulu, Aishah mendedahkan satu kenyataan laporan penyelidikan rasmi berhubung rantai berkenaan yang didakwa tidak bernilai dan bukan berlian asli diterimanya selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Hal itu diketahuinya selepas dimaklumkan oleh pemilik kedai sebuah barangan kemas dan mendakwa berlian berkenaan menggunakan bahan murah. Dalam pada itu, peguam Aishah turut memberitahu pihaknya sudah memulakan proses mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire selepas gagal menyerahkan hadiah sebidang tanah yang dijanjikan.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Kosmo, Instagram Aishah & Datuk Seri Vida


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: