25 July 2019

DAKWAAN MENCABUL PEKERJA - LEMAN RAJA LAWAK MENGAKU TIDAK BERSALAH


Bekas peserta Raja Lawak musim kelima yang disertainya menyertai pada 2012, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali dengan nama Leman Raja Lawak, didakwa di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, semalam atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang pekerja wanitanya, November tahun lepas.





Tertuduh yang kini pengarah urusan sebuah syarikat produksi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang berusia 38 tahun itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan seorang wanita berusia 27 tahun di dalam bilik sebuah hotel di Puchong di Petaling Jaya, pada 4.10 pagi, 12 November 2018 lepas.

Dia turut dituduh melakukan kesalahan serupa ke atas mangsa yang sama di sebuah pejabat di Jalan Permai, Taman Perindustrian Puchong di Petaling Jaya pada 16 November 2018.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Klik untuk gambar besar


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Ridzuan Muhamad memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung selain seorang anak yang berusia dua tahun.

"Syarikat produksi yang dikendalikan anak guam saya juga baru beroperasi dan masih belum mempunyai sebarang keuntungan. Saya mohon jaminan dikurangkan," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan pengadu dalam kes ini selain menetapkan 6 September untuk sebutan semula kes.


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: