17 July 2019

DATUK VIDA SERAH LIMA BARANG KEMAS BERNILAI RM80K PILIHAN AISHAH


"Kemelut yang melanda antara saya dan Aishah selama setahun ini perlu dileraikan dan saya komited dalam hal ini. Sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya berbesar hati untuk memenuhi tuntutan Aishah. Sebenarnya ia bukan tuntutan, tetapi adalah keinginan asal saya sendiri untuk memberikan sesuatu yang menggembirakan Aishah sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat," demikian ujar jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida pada satu sidang akhbar di Hotel One World, hari ini.





Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman akhirnya telah menyerahkan barang kemas dan berlian bernilai RM80,000 seperti dituntut penyanyi Aishah. Vida memaklumkan Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 54, telah memilih sebanyak lima barang kemas berupa sebentuk berlian satu karat bernilai RM27,100 dan sebentuk berlian 0.70 karat (RM12,920).

Barang kemas lain adalah sebentuk cincin emas kuning 18 karat disaluti berlian bernilai RM20,820, cincin emas putih 18 karat (RM11,410) dan emas putih disaluti berlian (RM7,750). Menurut Vida, 47, penyerahan tersebut dibuat adalah seperti yang telah dipersetujui dalam sesi mediasi bersama Aishah yang berlangsung pada 1 Julai lalu.

Klik untuk gambar besar


Jelas Vida, pihaknya telah memberi peluang kepada Aishah untuk memilih sendiri barang kemas di sebuah kedai di Bangsar, Kuala Lumpur: "Walaupun sebelum ini pihak saya ada menggantikan dengan barangan berlian lain, tetapi saya batalkan kerana barang kemas saya telah didakwa susut nilai oleh Aishah. Cara terbaik, saya bagi pilihan kepada Aishah untuk memilih sendiri set barang kemas yang dia inginkan".

Turut hadir, peguam mewakili Vida, Adnan Seman @ Abdullah dan Zailan Mohamed. Bagaimanapun, Aishah tidak hadir pada sidang akhbar tersebut, namun dia dijangka menerima berlian dan barang kemas itu sejurus selesai majlis sidang akhbar. Menurut Vida, bayaran berlian dibayar oleh anak perempuannya, Nur Edlynn Zamilee Muhammad Amin, 14, atau lebih dikenali sebagai Cik B menerusi hasil perniagaannya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo, Instagram Datuk Seri Vida & Aishah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: