31 July 2019

HIPERTENSI - MAWI KURANGKAN GARAM & PANTAU TEKANAN DARAH SENDIRI


Selepas seminggu ditahan di hospital akibat tekanan darah tinggi, juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3), Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani menjelaskan keadaan kesihatannya kini semakin baik. Jelas Mawi, selain perlu menjaga pemakanannya dia turut mengambil inisiatif untuk membeli alat pemantau tekanan darahnya sendiri.





"Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertamba baik dan saya sangat berhati-hati terutama soal pemakanan. Saya dinasihati untuk mengurangkan pengambilan garam dalam makanan dan sekarang sudah membeli alat pemantau tekanan darah tinggi.

"Setiap dua jam saya akan memeriksa keadaan tekanan darah saya dan sekiranya meningkat saya perlu berehat seketika sebelum kembali melakukan sesuatu kerja. Selain itu, saya cuba bersukan lebih kerap paling tidak pun bermain badminton dengan anak-anak di rumah," katanya.

Mawi yang ditemui pada sesi rakaman Ceria Megastar Ministar di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini mengakui faktor genetik dan persekitaran menyumbang masalah kesihatannyaa: "Kemungkinan besar penyakit darah tinggi ini kerana kedua-dua ibu bapa saya pernah mempunyai sejarah darah tinggi.

"Tetapi ada kemungkinan juga faktor kerja dan keadaan saya yang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor ketika menguruskan arwah emak saya dan anak buah saya yang meninggal dunia pada Syawal lalu," tambahnya.

Pertengahan Julai lalu Mawi ditahan di sebuah hospital swasta akibat mengalami tekanan darah tinggi: "Pada mulanya saya hanya membuat pemeriksaan tekanan darah bersama anak saya. Tak sangka pula bacaan kritikal.

"Jadi, doktor menyarankan saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sepatutnya kerana risaukan risiko boleh strok atau meninggal dunia. Sesampai di hospital saya terus dikejarkan ke unit kecemasan dan ditahan selama seminggu untuk pemantauan doktor," imbas Mawi.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Mawi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: