25 July 2019
MAHU KAHWIN LELAKI KELAKAR - ZIZI KIRANA TAK KISAH PARAS RUPA, TUA
"Kalau jodoh itu boleh diberi pilihan, saya atau sesiapa saja sudah pasti inginkan yang terbaik menjadi pasangan hidup. Namun, dalam kehidupan ini kita tidak boleh menidakkan aturan dan ketentuan Allah SWT. Soal jodoh, ajal dan maut itu kerja Dia.
"Saya okay jika ditakdirkan berkawan dan berkahwin dengan lelaki berusia. Apa yang penting dia boleh menjaga, membahagiakan dan membuat saya ketawa. Saya sudah jelak bercinta, namun masih belum ditakdirkan bertemu jodoh. Malas rasanya terus memikirkan soal itu, jadi lebih baik saya serahkan kepada ibu kerana dia lebih tahu lelaki bagaimana yang terbaik untuk saya.
"Saya terima sekiranya sudah tertulis hanya bertemu cinta sejati selepas berkahwin. Soal rupa, asalkan sedap mata memandang, itu sudah memadai. Pada usia sekarang, saya tidak lagi meletakkan paras rupa sebagai kriteria utama.
"Paling penting, bakal suami saya mesti pandai berjenaka kerana saya mudah tertarik dengan lelaki yang kelakar. Dia juga perlu ringan tulang kerana saya tidak dapat hidup dengan orang malas," demikian kata penyanyi Zizi Kirana yang bersikap terbuka dalam soal pasangan hidup, malah tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki pilihan keluarga.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 34, berkata, dia juga tidak menolak jodoh sekiranya ditakdirkan berkahwin dengan lelaki berusia dan mengakui berkawan dengan lelaki berusia ada daya tarikan tersendiri.
Klik untuk gambar besar
Zizi berkata, dia sudah buntu menanti kehadiran jejaka yang memenuhi kriteria yang diimpikan, malah bersedia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ibunya untuk mencari lelaki terbaik. Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketujuh itu percaya, ibunya lebih arif dalam menilai lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya.
Bercakap mengenai jodoh, Zizi bagaimanapun menolak suami orang: "Kalau dia berusia atau orang tua sekali pun, saya okay asalkan bukan suami orang. Sebagai wanita, saya perlu menghormati hak wanita lain. Saya percaya, dalam soal ini diri sendiri perlu memainkan peranan. Sekiranya memang lelaki itu bukan jodoh kita, saya percaya Allah akan hadirkan lelaki lain yang lebih baik," ujarnya.
Terdahulu, nama Zizi menjadi sebutan apabila gambar dia menggayakan busana perkahwinan bersama pelawak, Ebby Yus tular di media sosial. Ramai beranggapan mereka berkahwin dan tidak kurang juga yang terkejut dengan pilihan Zizi itu. Namun, Ebby Yus telah tampil menjelaskan bahawa gambar itu diambil ketika mereka menjayakan program Jenaka Kampung Kalut (JKK) yang ditayangkan di TV3.
Beralih mengenai perkembangan kerjaya, Zizi yang popular menerusi lagu 'Nak Ke Tak Nak' itu berkata dia akan terus memperjuangkan irama hip-hop yang sudah sebati dalam dirinya sejak menyertai kumpulan The Fabulous Cats.
"Selepas bergerak solo pada 2015, saya lihat nama Zizi Kirana semakin kukuh, malah saya sudah boleh berdiri tanpa dikaitkan dengan kumpulan lama. Selagi diterima, saya akan setia membawakan lagu hip-hop dan rap. Selain itu, saya turut muncul dengan single terbaru, Starlela ciptaan Hafiz Hamidun. Menerusi lagu itu, saya bergandingan dengan Ifa Raziah dan Bella Astillah," jelasnya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian Harian, Harian Metro & Instagram Zizi Kirana
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment