23 July 2019

MANFAATKAN SUMBANGAN- IZAM EYE SUSAH HATI FIKIR NASIB 7 ANAKNYA


Baru-baru ini, Izam EYE atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 51, telah dikejarkan ke Hospital Serdang akibat serangan angin ahmar ringan selepas pulang daripada menjayakan misi membantu kerja dakwah Pembangunan Insan Sabah Care (PISC) Group di Kuantan, Pahang pada 24 Jun lalu.





"Diikutkan setiap minggu saya didatangi tawaran untuk menyanyi tapi dalam keadaan begini macam mana nak pergi," kata Izam yang mengulas keadaan kesihatannya sekarang dan selepas seminggu menerima rawatan, dia dibenarkan pulang dan berehat di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.

Izam mendedahkan pernah menjayakan persembahan dengan berkerusi roda bagi memenuhi permintaan peminatnya: "Ia berlangsung baru-baru ini di Bangi atas desakan peminat yang rindu sangat nak jumpa saya. Biarpun dah jelaskan keadaan sebenar tapi mereka nak juga saya datang. Konsep persembahannya santai sahaja. Saya menyanyikan sekitar enam lagu dan nampaknya peminat tetap terhibur".

Izam mengakui agak kepenatan ketika menyanyi kerana angin ahmar itu menyebabkan bahagian kanan badannya tidak berfungsi secara normal: Apabila menyanyi kita sebenarnya perlukan stamina daripada kedua-dua belah bahagian perut. Jadi, saya sekarang agak terkesan dengan masalah ini.

"Di rumah saya banyak melakukan fisioterapi dengan bantuan pakar di mana kosnya dibiayai hasil sumbangan orang ramai. Saya juga berterima kasih dengan keprihatinan rakan seperti Ali XPDC, Elji, Zuar XPDC Kita Peng Yu dan ramai lagi yang datang melawat serta memberikan sumbangan," tuturnya.

Katanya, dia akan memanfaatkan setiap sumbangan yang diberikan untuk tujuan perubatan dengan sebaiknya: "Tapi jujurnya saya cakap ia tidak mencukupi kerana tak dapat bekerja untuk menampung tujuh anak. Apabila tak dapat cari makan, saya pasti akan susah hati. Rezeki saya daripada nyanyian. Setiap awal bulan nak kena bayar duit rumah pula.

"Namun sekali lagi saya bersyukur kerana ada bantuan daripada rakan. Sabah Care sendiri menyumbangkan bantuan sewajarnya termasuk beli kerusi roda untuk saya," jelasnya yang memberitahu doktor menjangkakan dia perlu mengambil masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Zuar yang mewakili XPDC Kita Peng Yu berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu bagi meringankan beban yang ditanggung Izam akibat penyakit itu: "XPDC dan penganjur persembahan kami di Pulau Sebang, Melaka memang rancang nak bantu Izam. Persembahan ini secara percuma tapi kami buat kutipan khas untuk bantu artis yang kurang bernasib baik seperti Izam dan ramai lagi.

"Sebelum itu kami bantu Yazit Search dan selepas ini Shima serta Toki pula. Derma yang diterima daripada peminat, kami serahkan sepenuhnya kepada artis itu. Ini dibuat memandangkan usia kami pun bukanlah muda lagi," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: