21 July 2019

MESKIPUN PERIT - NAMUN SHIMA REDHA JADI ASNAF


Hidup harus diteruskan!

Demikian halnya dengan penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Teringin' dan 'Setelah Aku Kau Miliki' pada era 90-an, Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman,50, yang kini merupakan seorang Asnaf. Dia terpaksa berbuat demikian dan menerima bantuan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor, kerana kesempitan hidup.

"Walaupun agak memeranjatkan apabila Lembaga Zakat Selangor memaklumkan yang saya layak untuk dikategorikan sebagai Asnaf, dan saya tahu itu adalah realiti yang paling sedih perlu saya alami.





"Hidup saya sangat susah sekarang, tapi saya masih berharap supaya ada sinar dalam kehidupan yang saya alami sekarang," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada FMT.

Dengan wang bantuan itu, dia berniaga nasi campur di tepi jalan berhampiran dengan flat yang disewanya di Damansara Damai, arah ke Sungai Buloh, Selangor.



Semuanya bermula apabila dia terpaksa menanggung kesakitan yang dialaminya iaitu sakit saraf dan sakit belakang.Malah terkini dia juga didapati menghidapi penyakit lemah pundi kencing.

"Menjual nasi campur dengan berdiri dalam keadaan yang lama, dengan keadaan sekarang, mustahil untuk saya lakukannya.



"Tapi saya terima semua dugaan ini dari Allah, dan saya akan lakukan yang terbaik," tambahnya yang difahamkan mendapatkan rawatan secara berkala di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Selain bantuan kewangan, dia kini berharap agar dapat memiliki sebuah rumah sendiri melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR).

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: