29 July 2019

MUNTAH MAGGI PEDAS & DURIAN: "SALAH SAYA MAKAN PERUT KOSONG" - ARA


Nampaknya penyanyi Ara Johari tidak mahu ketinggalan apabila dia dengan beraninya menyahut cabaran memakan mee segera pedas yang dicampurkan bersama buah durian Musang King. Memang gilalah... dahlah rasa pedas campur pula dengan panas, memang meletoplah jawabnya... Heh!





Menerusi video 'teaser' yang dimuatnaik di laman Instagram, kita boleh lihat betapa seksa jiwa raganya cuba menelan makanan tersebut sehingga tiba satu tahap, dimana bekas pelajar Akademi Fantasia 2016 (AF2016) itu tidak dapat tahan lagi dan muntah teruk.

Aksi bahaya ini menerima kecaman netizen yang rata-rata berkata, Ara sepatutnya tidak berkongsi video tersebut kerana khuatir boleh mempengaruhi peminatnya melakukan perkara yang sama memandangkan dia seorang 'public figure'.

Malah, kombinasi makanan pedas dan buah durian akan menimbulkan reaksi berbahaya dimana gas boleh bergejolak dalam perut selain meningkatkan suhu badan. Video tersebut turut mendapat perhatian pelakon popular, Nabila Huda yang menganggap cabaran itu kurang cerdik dan menasihati Ara untuk tidak buat 'kerja gila' yang hanya mendatangkan kemudaratan.

Klik untuk gambar besar


Ada pula netizen yang mendakwa Ara dan rakan-rakannya sanggup melakukan perkara itu semata-mata untuk meraih publisiti dan menjadi viral tanpa memikirkan kesannya kepada diri ataupun masyarakat. Menurut Ara yang popular dengan lagu Bunga, rakaman untuk video itu dilakukan dua minggu lalu dan dia sendiri tidak menjangkakan akan menerima kecaman sehebat itu.

"Video ini sudah dirakam dua minggu lalu sebagai kandungan untuk saluran YouTube rakan saya, Zarol Zarif yang juga bekas peserta AF2016. Jadi, tak sangka pula bila saya kongsikan 'teaser' di Instagram, ramai yang kecam," katanya.

Kecaman yang dilemparkan netizen adalah apabila dalam video itu, Ara muntah-muntah selepas makan campuran mi segera dengan durian: "Saya sudah diberitahu sebelum penggambaran dimulakan bahawa saya akan dicabar untuk makan mi segera berperisa pedas dengan durian.



"Namun, salah saya juga kerana makan juadah itu ketika perut kosong. Jadi, mungkin kerana rasa pedas bergabung dengan rasa durian serta perut yang kosong membuatkan saya muntah-muntah. Namun, selepas menjalani pemeriksaan di klinik, tiada apa yang serius," jelasnya.

Ara berkata, dia akan lebih berhati-hati selepas ini dalam menyahut cabaran terutamanya berkaitan makanan: "Mungkin kalau ada cabaran untuk jamah makanan yang luar daripada kebiasaan, saya akan lebih berhati-hati untuk pastikan ia tidak memudaratkan kesihatan.

Memanglah sekarang ini, hampir setiap hari ada sahaja cabaran pelik-pelik yang trending, lebih-lebih lagi bab makanan. Semuanya demi meraih perhatian ataupun mencari 'content' agar popular di media sosial. Harapnya cabaran ini janganlah menjadi ikutan ramai. Fikir dahulu risiko sebelum melakukan sesuatu perkara.


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro, Beautifulnara & Instagram Ara Johari


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: