16 July 2019

SAH CERAI TALAK SATU DENGAN SHAHIRA AYU - RADHI OAG DUDA KALI KEDUA


Jika sebelum ini, vokalis kumpulan OAG, Radhi merumitkan lagi proses penceraian apabila mengakui dia tidak mengingati lafaz cerai yang dilakukan terhadap isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, namun nampaknya perkahwinan pasangan ini akhirnya terlerai selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Petaling Jaya, hari ini.





Hakim Syarie Husaini Roslin memutuskan demikian selepas mendapati lafaz yang diucapkan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali (defendan), 41, terhadap Ayu, 25, (plaintif) pada 25 Mac lalu adalah sah dan mengikut syarak.

Husaini kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam daerah Petaling dan sijil nikah dibatalkan.

"Mahkamah meluluskan tuntutan plaintif berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran mahkamah pada 25 Mac lalu, jam 4.20 pagi adalah sah dan jatuh talak rajie," katanya.

Klik untuk gambar besar


Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk Radhi membuat sumpah nafi susulan keterangannya kepada mahkamah pada tarikh lalu bahawa dia tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Ayu pada hari kejadian. Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang individu bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan.

Terdahulu, di awal prosiding, ketika disoal mahkamah adakah Radhi masih konsisten dengan keterangannya seperti tarikh lalu atau ada pindaan, penyanyi itu berkata: "Bukan saya nafi (melafazkan cerai) cuma saya tak ingat sama ada saya lafaz perkataan cerai, lepas, blah dan chow. Tapi saya memang ada cakap, namun tak pasti," tuturnya.

Husaini berkata, walaupun tidak ingat satu perkataan, Radhi masih perlu melafazkan sumpah nafi kerana Ayu masih konsisten dengan dakwaannya bahawa Radhi melafazkan 'Aku cerai kau dengan talak satu'. Selepas mendengar penerangan mahkamah, Radhi kemudian mengubah fikiran dan akhirnya bersetuju dengan dakwaan yang dikemukakan Ayu.



Sementara itu, Radhi ketika ditemui di luar mahkamah berkata dia akan membuat permohonan rujuk terhadap bekas isterinya itu: "Allah sudah bagi jalan untuk rujuk, jadi langkah seterusnya adalah untuk memfailkan proses rujuk. Pada saya, ini adalah pengajaran buat saya dan ingin rujuk dengan isteri demi kepentingan anak-anak".

Ayu yang memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu pada 3 Jun lalu itu pula memberitahu media dirinya masih tidak fikirkan soal rujuk kerana perlu masa untuk uruskan dirinya. Pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Radhi dan Ayu mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3. Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Berita Harian & Media Hiburan


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: