26 July 2019

"SAYA TAK SANGGUP TAK ADA KAKI" - ANAK LINDA EVA MAHU BERJALAN SEMULA


Bekas vokalis Putera Band dan juga anak kepada penyanyi Linda Eva, Haziq atau nama sebenar Muhammad Haziq Hasbullah, 19, berkata dia pernah berasa sangat tertekan dan mengalami kemurungan disebabkan berfikir akan hilang sebelah kaki.





"Saya tak sanggup kalau tak ada kaki. Sejujurnya, saya tidak boleh menerima kenyataan yang berat ini. Ketika di hospital, walaupun cuba positifkan diri tetapi saya gagal melakukannya. Saya juga pernah menyalahkan diri sendiri kerana harus berhadapan ujian besar ini. Saya masih muda dan ia terlalu berat untuk dipikul.

"Namun, mujur ada mama, adik, keluarga dan kawan baik yang sentiasa ada di sisi saya sejak ditimpa kemalangan hingga kini. Alhamdulillah, saya juga makin bersemangat dan yakin kaki kanan ini boleh pulih semula apabila tiba waktunya," kata Haziq ketika ditemui di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, kata anak sulung Linda atau sebenarnya Norhaslinda Ishak, 40, itu, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatannya: "Terima kasih juga kepada semua yang membantu dengan menghulur sumbangan buat saya. Terus-terang, saya nak berjalan semula.

"Saya juga tak sabar mahu melakukan kaedah rawatan plasenta biri-biri ini sebagai alternatif usaha memulihkan semula kaki kanan," tutur Haziq yang turut berkata, dia harus berjalan semula untuk meneruskan pembabitan dalam karier seni bagi membantu keluarganya.

Klik untuk gambar besar


Sehubungan itu, Haziq memerlukan bantuan kewangan lebih RM30,000 untuk menjalani 10 sesi kaedah rawatan berkenaan yang dilakukan di rumah. Bagi orang ramai yang ingin membantu, bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 114067310531 (Norhaslina Ishak) atau menghubungi Linda menerusi Instagram: @lindaeva_official.

Haziq berkata, sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga, dia ada tanggungjawab terhadap tiga adik-beradik perempuannya yang masih bersekolah: "Adik masih belajar dan mama pula ibu tunggal. Oleh itu, saya harus membantu mama untuk menguruskan kehidupan kami sekeluarga.

"Jadi, saya kena bangkit semula untuk fokus pada karier nyanyian bagi mencari pendapatan untuk pendidikan adik," ujarnya yang baru dua tahun aktif dalam karier nyanyian bersama Putera Band dan dikenali dengan lagu 'Rebahku Tanpamu', 'Tersiksa' dan 'Dilema'.

Bagaimanapun, beberapa bulan lalu Haziq tiba-tiba membuat pengumuman dia memilih bergerak solo dan meninggalkan Putera Band selaku vokalis. Pada 5 Julai lalu, Haziq yang membonceng motosikal bersama rakannya ditimpa kemalangan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Bukit Jalil sehingga menyebabkan kaki kanan cedera teruk akibat salur darah putus.

Akibatnya, Haziq menjalani dua kali pembedahan di kaki kanannya dan doktor menasihatkan supaya ia dipotong demi menyelamatkan nyawanya. Untuk rekod, sebelum ini Haziq juga pernah terbabit kemalangan motosikal pada hujung Februari tahun lalu yang berpunca daripada motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori diparkir di bahu jalan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: