16 July 2019

SIBUK SIAPKAN SINGLE - FATHIA TAK MAHU DIKAITKAN LAGI DENGAN KONTROVERSI


Ramai orang akan melabelkan pelakon Fathia Latiff yang berusia 32 tahun itu sebagai artis yang sering mencetuskan kontroversi. Sejak sebelum mengenakan tudung, sehinggalah mengambil keputusan untuk berhijab dan menanggalkan semula, pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri 'Ariana Rose' itu sering menjadi perhatian khalayak.





Bagaimanapun, sebagaimana kuat tohmahan yang diterima daripada orang sekeliling, begitulah cekalnya jiwa Fathia mendepani hidup sebagai selebriti. Fathia sejak akhir-akhir ini dilihat gemar menyanyikan lagu penyanyi lain dalam Instagram dan kini dalam proses untuk muncul dengan lagu sendiri.

Mengakui lebih cenderung untuk bergelar penghibur, Fathia berkata, perjalanan kerjayanya kini tertumpu terhadap proses menyiapkan single baharu berjudul 'Jika Aku Tahu'. Masih ada beberapa bahagian yang perlu dicantikkan, Fathia mahukan pendengar dan peminat berpuas hati dengan lagu ciptaan sendirinya itu.

Dalam pada itu, Fathia turut berbicara mengenai kesediaan untuk bergelar penyanyi sepenuh masa dan keengganannya berkongsi perihal peribadi dalam Instagram: "Buat masa ini, saya sedang sibuk di studio untuk menyiapkan rakaman single baharu berjudul 'Jika Aku Tahu'.

Klik untuk gambar besar


"Single ini sangat istimewa kerana merupakan karya saya sendiri. Lagu ini berentak balada dan mengisahkan pemergian orang tersayang. Lagu ini mempunyai maksud yang sangat mendalam dan saya berharap agar sesiapa yang merindui orang yang telah tiada, boleh mendengarkan lagu ini.

"Sejujurnya, saya masih mahu berlakon. Jika watak yang ditawarkan sesuai, saya akan terima. Cuma, saya sedang sibuk siapkan lagu, jadi ketika ini banyak saya ditumpukan untuk projek tersebut. Saya tidak kisah memandangkan minat menyanyi memang ada dalam diri sejak dulu. Benar, saya dikenali sebagai pelakon tetapi bakat berlakon bukan datang secara semula jadi. Sebaliknya, datang selepas digilap selama bertahun-tahun," ujarnya.

Selain nyanyian, Fathia ditanya pula adakah dirinya rasa imej berambut pendek yang digayakan sekarang sesuai sebagai penyanyi? Ini kata Fathia: "Ketika aktif berlakon, saya perlu menyesuaikan imej sebenar dengan watak. Jadi, saya buat perkara yang serupa untuk bidang nyanyian.



"Saya potong rambut pendek bagi mewujudkan satu karakter baharu yang mengatakan saya kini sedia untuk bergelar penyanyi. Pada pendapat saya, berambut pendek bukanlah satu hal yang pelik, Misha Omar dan Jaclyn Victor juga berambut pendek, cuma gaya potongannya sahaja berbeza," tuturnya.

Dalam masa sama, Fathia disoal bagaimanakah kerjayanya selepas dilanda kontroversi akibat mengambil keputusan untuk tidak mengenakan tudung, ini komen Fathia: "Saya percaya pada bakat. Jika kita berbakat dan ada keyakinan untuk pergi jauh, Insya-Allah, kita akan kekal dalam industri.

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan kontroversi untuk terus dikenali. Rakyat Malaysia memang suka mengambil tahu hal peribadi saya. Tetapi, saya tidak mahu lagi memuatnaik rutin harian dalam Instagram. Saya mahu jadikan Instagram sebagai platform untuk berkongsi tentang karier sahaja," jelasnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Kosmo & Instagram Fathia Latiff


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: