18 July 2019
SUAMI DITAHAN DI RAFAH - YATT RISAU, ANGGAP SYAHID JIKA BERLAKU APA-APA
Menerusi laman Instagram, pelakon Yatt Hamzah, 39, meluahkan rasa bimbang akan nasib suaminya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 27, dan delegasi misi #wakeupforGaza yang didakwanya ketika ini terperangkap di pintu sempadan Rafah, Mesir yang dikawal tentera Mesir.
Dalam status tersebut, Yatt turut memberitahu, suaminya yang merupakan anggota Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM, dua teman baiknya, Heliza Helmi serta adiknya, Hazwani dan ketua delagasi, Dr Sany Araby dan Setiausaha Kementerian Luar adalah antara sukarelawan yang menyertai misi berkenaan.
"Berita yang diterima setakat ini, mereka ditahan dan tidak dapat keluar dari Rafah hingga terpaksa bermalam di sana. Akibatnya, mereka terlepas penerbangan pulang ke Malaysia, malam semalam. Berapa lama mereka akan ditahan masih menjadi tanda tanya," katanya dalam entri berkenaan.
Yatt yang aktif dalam misi kemanusiaan di Gaza memberitahu, dia pernah ditahan berpuluh-puluh jam di pintu Rafah pada 2013: "Memang sangat mencabar dan menduga kesabaran. Sehubungan itu, saya memohon kita sama-sama mendoakan keselamatan dan kelancaran urusan suami dan anggota delegasi yang lain. Semoga mereka segera dilepaskan keluar dari pintu Rafah. Saya berbangga dengan perjuangan suami. Jika apa-apa berlaku terhadapnya, saya anggap ia sebagai syahid," ujar Yatt.
Katanya, mereka menyertai misi kemanusiaan #wakeupforGaza di Palestin sejak 8 Julai lalu dan sepatutnya tiba di tanah air jam 10 malam, hari ini (waktu Malaysia): "Sebaik tiba di pintu masuk Rafah jam 10 malam tadi (waktu Malaysia), lapan sukarelawan kita ditahan.
Klik untuk gambar besar
"Mereka disuruh bermalam di tepi tembok dengan ketiadaan makanan serta minuman. Suami dan sukarelawan diarah pulang ke Gaza serta perlu melalui 20 pusat pemeriksaan dengan menaiki bas. Mereka tidak dapat menaiki kapal terbang dan terpaksa membeli tiket baru bernilai belasan ribu ringgit," jelasnya.
Menurut Yatt, suaminya menghubungi dia jam 2 pagi, hari ini tetapi dia sudah pun tidur. Setakat ini mereka berhubung menerusi aplikasi WhatsApp: "Saya berbangga dengan suami dan dia adalah imam saya. Walaupun hanya suami ke sana, ia ibarat dia membawa saya dan anak. Setakat ini saya menunaikan solat hajat, berdoa dan menangis semoga semua sukarelawan selamat. Saya mohon kepada rakyat Malaysia mengirimkan doa yang sama".
Menurutnya, Mohammad Zulfadhli yang menyertai delegasi selama 10 hari kerap terbabit misi kemanusiaan sejak 2013, tambahan pula dia jurugambar di MAPIM:"Suami adalah Pengarah Media badan itu dan setahun lapan kali pergi ke Palestin. Sebagai seorang isteri, naluri mengatakan suami dan sukarelawan yang lain selamat berdasarkan pengalaman saya pernah ditahan di lokasi sama pada 2013".
Yatt yang pernah menyertai misi kemanusiaan di Syria pada 2015 berharap perjuangan suaminya menjadi jihad demi membantu umat Islam tertindas: "Sememangnya tentera Israel sangat jahat dan mereka tidak mempedulikan bayi, kanak-kanak dan warga emas biarpun dirayu," katanya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & Instagram Yatt Hamzah
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment