10 July 2019
SUNYI, MAHU KEMBALI BERLAKON - FADILAH MANSOR HARAP KESIHATAN MENGIZINKAN
"Ketika hayatnya masih ada, arwah tidak pernah menghalang saya aktif, malah kami saling menyokong kerjaya seni masing-masing. Sepanjang tahun ini, ada beberapa drama yang saya bintangi. Sepatutnya saya terbabit dalam sebuah projek terbaru, tetapi saya tolak disebabkan masih dalam tempoh edah.
"Tambahan pula, keadaan kesihatan saya juga kurang mengizinkan, tetapi jika tidak culas mengambil ubat dan mengamalkan gaya hidup sihat, insya-Allah, saya boleh kembali ke set. Doktor juga maklumkan, salur darah yang tersumbat hanya sedikit," kata Dramatis, Datin Fadilah Mansor, 59, yang hanya berehat di rumah selepas dibenarkan pulang pada 3 Julai lalu selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.
Berharap dapat kembali berlakon selepas kesihatannya pulih, Fadilah berkata, perasaan sunyi selepas kematian suami, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun pada 13 Jun lalu itu membuatkan dia cuba sibukkan diri dengan bekerja, berbanding tinggal di rumah.
Klik untuk gambar besar
Terdahulu, balu kepada ikon pop yeh yeh itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), akhir bulan lalu selepas mengadu sesak nafas. Menceritakan kejadian itu, Fadilah berkata, dia tiada selera makan, membuatkan kepalanya pening dan nyaris pitam serta sesak nafas.
"Rindu terhadap arwah semakin terasa selepas beberapa hari pemergiannya. Saya sukar tidur, tidak berselera makan dan sayu sepanjang masa kerana selalu terbayangkan arwah. Mungkin faktor itu membuatkan saya lemah dan sesak nafas, tetapi tidak sangka pula membawa kepada masalah jantung memandangkan sebelum ini, saya kerap membuat pemeriksaan kesihatan," tuturnya yang mendirikan rumah tangga dengan arwah A Rahman pada 25 Disember 2014.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Fadilah Mansor
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment