06 July 2019
TOLAK SERTAI GV6 - ATILIA AKUI TAK GEMARKAN PERTANDINGAN
"Saya memang tumpang gembira melihat bintang juara program itu sebelum ini, Noryn Aziz, yang kembali bersinar. Namun, saya bukan orang yang suka bertanding. Mungkin sikap saya sama seperti emak (Salamiah Hassan). Kalau diam-diam dapat menyanyi di sesebuah kelab pun sudah menggembirakan hati saya.
"Kalau tidak mendapat kepuasan muzik, bagi kami, lebih baik hati merajuk daripada mencuba perkara yang tak disukai," ujar penyanyi Atilia Haron, 44, yang mengakui turut menerima tawaran menyertai pertandingan nyanyian, Gegar Vaganza musim keenam (GV6).
Bagaimanapun, penyanyi lagu 'Sangkar' itu memilih untuk melepaskan peluang berkenaan kerana dirinya bukan artis yang gemarkan pertandingan. Wanita yang turut aktif dengan senaman yoga itu berkata, buat waktu ini dia masih lagi mendapat perhatian penganjur persembahan.
"Selain sibuk dengan tugasan di studio yoga dan mengajar, saya juga masih memberikan tumpuan terhadap persembahan pada majlis korporat. Cuma, persembahan sedemikian juga tidak sebanyak dahulu. Malah, ketika ini, ada syarikat yang lebih suka mencari pelawak untuk menghiburkan tetamu, berbanding penyanyi.
"Jadi, mahu atau tidak, saya memang perlu membabitkan diri dalam bidang lain juga bagi menambah pendapatan," katanya yang terus aktif menyumbangkan suara latar untuk pelbagai produk.
Klik untuk gambar besar
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Atilia Haron
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment