16 August 2019

BOY IMAN & ISTERI CERAI KALI KE-3 - PERNIAGAAN MERUDUM ANTARA PUNCA


"Sebenarnya ini adalah perceraian kali ketiga saya dengan Ida (Kumala Dewi), kali pertama berlaku pada 2015 namun kami kembali rujuk atas dasar sayang. Perceraian kedua pula berlaku pada 2017 namun kembali rujuk atas alasan yang sama, malah kami tidak menfailkan perceraian kerana sudah rujuk melalui hubungan kelamin," kata pelakon dan usahawan Datuk Boy Iman.





Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 39, mengesahkan dia kini sudah bergelar duda selepas berpisah dengan isterinya, Kumala Dewi Anas pada 20 April lalu dan jatuh talak tiga. Pelakon 'Blok 404' itu berkata, dia dan isteri pernah bercerai dua kali iaitu pada 2015 dan 2017, namun kembali rujuk semula sebelum habis tempoh edah.

Tambahnya, kedua-dua penceraian terdahulu tidak difailkan di Mahkamah Syariah. Manakala perceraian kali ketiga ini masih lagi dalam proses di mahkamah. Kesemuanya sudah tiga talak dilafazkan. Boy mendedahkan perceraian itu di laman sosial Instagram miliknya pada Khamis lalu untuk mengelak salah faham dan persoalan beberapa pihak.

Biarpun sudah berpisah dan menjalani kehidupan berbeza, Boy berkata, dia tidak pernah bermusuhan dengan bekas isterinya itu. Malah, mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama: "Kami sekeluarga masih rapat dan meraikan hari raya bersama-sama, malah kami turut melancong bersama baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar


"Kami langsung tidak membenci antara satu sama lain, cuma jodoh itu sudah tertulis berakhir di sini. Pasangan mana yang mahukan perceraian? Kami cuba untuk menghadapi perkara ini dengan tenang demi anak-anak. Cuma mungkin sikap kami yang terlalu ikutkan perasaan menjadi punca perpisahan ini," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perceraian tersebut mungkin disebabkan masalah kewangan dan perniagaan Boy yang kini merudum, pelakon itu berkata, dia tidak menafikan hal tyersebut. Namun, katanya, ia juga bukan punca utama mereka berpisah.

"Saya tak nafikan keruntuhan rumah tangga ini adalah berpunca daripada masalah dalam perniagaan namun ia bukan punca utama," tambahnya yang berkahwin dengan Kumala, 42, pada 11 November 2011 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Norul Emmer yang kini berusia enam tahun. Untuk makluman, sebelum berkahwin dengan Boy Iman, Kumala sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata perempuan, Ku Ivy Emmera berusia 19 tahun.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Boy Iman


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: