29 August 2019

"BUKAN KESALAHAN OBSES DENGAN ANAK SENDIRI" - SITI NURHALIZA


Menepis tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan dirinya obses apabila sering berkongsi foto dan video puteri kesayangan, Siti Aafiyah Khalid di laman sosial, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 40, sebaliknya berkata, dia menjadikan laman sosial, terutama Instagram dan YouTube sebagai arkib untuk menyimpan segala rakaman momen manis yang boleh dirujuk semula pada kemudian hari.





"Siti tidak obses dengan anak sendiri, malah rasanya, Siti juga tidak terlalu kerap memuatnaik gambar dan rakaman video Aafiyah seperti yang diperkatakan warganet. Jika ada momen menarik dan perlu, Siti akan kongsi. Siti juga akan selang-selikan muat naik paparan dengan aktiviti seni. Lagipun, rasanya bukan kesalahan jika Siti obses dengan anak sendiri.

"Selama 11 tahun Siti nanti kehadiran Aafiyah dan hanya pada usia 39 tahun, baru Siti dikurniakan cahaya mata. Mungkin mereka yang tidak puas hati itu mempunyai anak ramai. Jadi, mereka tidak teruja seperti yang Siti rasakan ketika ini," katanya.

Klik untuk gambar besar


Penyanyi yang popular dengan lagu 'Anta Permana' itu, biarpun sibuk dengan urusan kerja, seboleh mungkin dia tidak mahu ketinggalan menyaksikan proses tumbesaran buah hatinya itu: "Selalu Siti berpesan kepada pengasuh supaya rakam apa sahaja gelagat Aafiyah. Apabila sibuk bekerja, kadang-kadang ada perkara yang Siti ketinggalan. Balik rumah, tengok Aafiyah sudah pandai itu dan ini.

"Untuk tidak menyesal, Siti rasa rakaman seperti itu perlu. Siti lebih suka jika rakaman dimuatnaik di laman YouTube. Selain durasinya yang panjang, ia juga boleh ditonton pada bila-bila masa. Jika hanya simpan di telefon bimbit, bila-bila masa boleh hilang, terutama jika peranti itu bermasalah," tuturnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Siti Nurhaliza


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: