07 August 2019

NAFI TERBABIT PENGADUHAN - YASSIN BANTU LELAKI ALAMI SEMPUT


"Ia bukan kes gaduh. Ketika itu saya sedang makan di sebuah restoran mamak di Taman Maluri berdekatan sebuah hotel. Ketika itu saya nak ke majlis rumah terbuka. Isteri yang berada di dalam hotel, telefon dan beritahu ada situasi kecoh di depan pintu bilik kami di tingkat satu.





"Saya bergegas ke situ dan mendapati ada seorang lelaki terbaring sambil pegang alat penyedut (inhaler)," demikian jelas pelawak Yassin Yahya, 41, yang mengakui dia adalah individu yang diberkas polis bersama dua rakan lain selepas terbabit dalam kes pergaduhan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.

Yassin bagaimanapun menafikan dia terbabit dalam pergaduhan dan mendedahkan semua itu berpunca daripada salah faham. Menurut Yassin, ketika itu lelaki berkenaan semput dan kakinya kejang menyebabkan dia segera memberi bantuan mengikut cara sendiri kerana berseorangan.

"Saya bertanyakan lelaki itu apa boleh dibantu dan dia menyuruh memanggil kekasihnya yang berada di lobi. Rupanya sebelum itu mereka bergaduh dan kekasihnya enggan menghiraukan dia. Saya akhirnya naik semula ke tingkat satu berjumpa lelaki terbabit," katanya.

Katanya, dia kemudian membantu melakukan ujian pernafasan kepada lelaki itu: "Saya buat begini dalam tujuh kali sehingga dia pulih sepenuhnya. Apabila dia okey, saya bawa dia ke tangga. Sambil itu, saya ajak isteri keluar kerana nak ke rumah terbuka. Apabila turun ke lobi dan hendak keluar, polis sampai dan menahan saya serta meminta kad pengenalan. Selepas menyerahkannya, saya ditahan atas dakwaan kesalahan lampau pada 2006," katanya.

Klik untuk gambar besar


Yassin kemudian dibawa ke balai polis dan direman di lokap selama satu hari: "Keesokannya saya dibawa ke mahkamah dan hakim mendapati wujud keraguan dalam kes ini. Saya menjelaskan tidak terbabit dengan pergaduhan yang berlaku dan dianiaya. Mujurlah lelaki itu menyampuk memberitahu saya yang membantunya. Dadah itu pula bukan kepunyaan saya kerana milik wanita terbabit," ujarnya.

Hakim kemudian menetapkan Yassin perlu direman satu hari dan kemudian dibebaskan. Pada 28 Jun lalu, pelawak terkenal itu dilaporkan diberkas polis bersama dua rakannya 25 Jun lalu disahkan polis positif mengambil dadah ganja.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras menerima panggilan memaklumkan berlaku pertengkaran mulut membabitkan dua lelaki dan seorang wanita di lobi hotel di Taman Maluri, 5.45 petang.

Menurutnya, anggota Balai Polis Cheras kemudian diarahkan untuk ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan sebelum memberkas mereka dan menemui satu paket plastik lut sinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat kira-kira 55 gram.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: