03 August 2019

SEBULAN MENDUDA - KANDA KHAIRUL SELAMAT NIKAH PILIHAN KELUARGA


"Dua perkahwinan saya sebelum ini adalah atas pilihan sendiri dan semuanya berakhir dengan perceraian. Jadi, kali ini, saya serahkan kepada keluarga untuk memilih calon isteri. Kebetulan, dia juga peminat saya dan kami tinggal sekampung.





"Jujurnya, kami memang tidak pernah keluar bersama dan saya melihat wajahnya buat kali pertama pada majlis pernikahan kami. Walaupun usianya jauh lebih muda, sifatnya yang matang dan kesanggupannya menerima anak-anak saya membuatkan saya tertarik padanya," kata penyanyi 'Atiqah Songket', Kanda Khairul.

Khairul mengharapkan perkahwinannya bersama pilihan keluarga, Nor Fazleen Hamimi, 19, berkekalan hingga ke akhir hayat. Menurut Khairul, 33, mereka disatukan sebagai suami isteri pada 20 Julai lalu dan ia perkahwinan ketiga buatnya selepas mahligai dibina sebelum ini musnah, Jun lalu.

Ditanya apakah dia percaya pada ungkapan bercinta selepas berkahwin, Khairul yang juga calon Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32) berkata, dia sudah bersedia untuk melalui pengalaman itu.

"Saya percaya pada pilihan orang tua kerana masing-masing lebih tahu apa yang terbaik untuk anak mereka. Seronok juga bercinta selepas berkahwin kerana ia berbeza dengan pengalaman pernah saya lalui sebelum ini. Moga ia akan lebih mengeratkan lagi hubungan kami untuk terus kekal melayari bahtera perkahwinan hingga ke akhir hayat. Doakan kami," pintanya.

Sementara itu, mengulas kerjaya seninya, bakat baharu berasal dari Kedah ini berkata, dia kini tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman atau pengurusan: "Segala urusan kerjaya seni kini diuruskan sepenuhnya oleh isteri. Baru-baru ini, ada syarikat rakaman mahu melamar saya untuk bernaung di bawah label mereka. Insya-Allah, jika semua berjalan lancar, mungkin saya akan menerima tawaran terbabit".


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: