31 August 2019

SIMPATI DENGAN ZYNAKAL - NAZIM MINTA PRIHATIN TERHADAP MASALAH MENTAL


Meluahkan rasa simpati terhadap penyanyi dan komposer Zynakal yang ditahan pihak polis kerana menyerang seorang pekerja di sebuah stesen minyak baru-baru ini, pelakon Nazim Othman berkata walaupun tidak mengenali secara peribadi tetapi tindakan Zynakal bertentangan dengan karakter yang ditunjukkan dan berkemungkinan ia disebabkan beberapa faktor sehingga mendorong masalah emosi.





"Saya buat video ini untuk luahkan perasaan sedih bila dengar tentang Zynakal, secara peribadi kami tak kenal antara satu sama lain, saya mula ikuti di Instagram selepas lagu 'Terbang'. Kadang-kadang ada berbalas komen di Instagram, dia kelakar dan sangat berbakat, bila dengar berita yang jadi dekat dia saya sangat sedih.

"Dalam hidup ini akan datang pelbagai masalah, kita kena corakkan jati diri sama ada mampu tangani atau tidak, kalau tersasar kena cepat sedar, kalau biarkan ia bahaya dan boleh sehingga menerima masalah mental," kata Nazim yang berkongsi pandangannya mengenai Zynakal dan penyakit berkaitan mental menerusi sebuah video yang dimuatnaik di laman Instagram miliknya.

Klik untuk gambar besar


Pada Jumaat, Mahkamah Majistret Ampang Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman dan denda kepada Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli sebanyak RM2,800 kerana mencederakan seorang pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas pada Rabu lalu.

Sementara itu, Nazim turut berpendapat tindakan luar kawalan yang dilakukan oleh Zynakal itu berkait rapat dengan tekanan dan masalah kesihatan mental. Justeru itu, dia meminta masyarakat supaya lebih prihatin dan tidak memandang ringan mengenai gejala dan gangguan masalah kesihatan mental yang berlaku dalam kalangan masyarakat.



"Sekiranya anda tahu sesiapa yang berada dalam masalah berkaitan dengan kesihatan mental, sila lakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu mereka. Isu ini bukan lawak jenaka dan tidak boleh dipandang ringan. Saya berharap kerajaan, institusi pendidikan dan NGO akan bekerjasama untuk menyebarkan kesedaran tentang perkara ini kepada orang awam secara lebih besar. Kesihatan mental adalah sama penting dengan kesihatan fizikal kita. Sejak kecil cuma ditekankan untuk menjaga kesihatan badan, tapi sayangnya... kesedaran pasal pentingnya kesihatan mental tidak ada," ujarnya.

Sebelum ini, penyanyi rap Caprice memaklumkan ada membantu Zynakal mencari rawatan alternatif bagi memulihkan gangguan perasaan penyanyi berusia 21 tahun itu. Dia juga memberitahu Zynakal memerlukan bantuan perubatan secara profesional dan sedang berada dalam keadaan bahaya.




www.myartis.com / Sumber: mStar & Instagram Nazim Othman


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: