03 August 2019

TERIMA ANUGERAH - SITI NURHALIZA MAHU JADI ARTIS & USAHAWAN SEIRING


Tahniah kami ucapkan kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang telah menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh oleh Entrepreneur Insight yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.





Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 40, berkata, anugerah itu menjadi semangat dan inspirasi untuknya melebarkan cabang perniagaan diceburi: "Alhamdulillah, terima kasih atas penghargaan dan kepercayaan diberikan ini.

"Saya mahu menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat dan inspirasi untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan. Apatah lagi sekarang produk SimplySiti juga sudah memasuki pasaran Indonesia. Tentunya saya mahu mengembangkan lagi cabang perniagaan lain," katanya.

Siti yang sedang giat mempromosikan single Kasihku Selamanya berkata, dia ingin kerjaya seni yang diceburi lebih dua dekad itu bergerak seiring dengan perniagaan dibina: "Saya mahu menjadi artis dan usahawan seiring, supaya apa yang dilakukan dapat dimanfaatkan serta berkongsi rezeki dengan orang lain," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Dalam masa sama, Siti berkongsi anugerah yang diterima itu didedikasikan buat anak tercinta, Siti Aafiyah. Malah, Siti bertuah apabila dia hadir menerima anugerah yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Anugerah ini adalah kenangan indah buat saya dan ia juga buat anak tersayang, Siti Aafiyah. Semoga Aafiyah menjadi insan berjaya dan bermanfaat kepada masyarakat. Semalam, saya menerima anugerah ini yang disampaikan Tun M sendiri. Saya berasa sangat bertuah," tuturnya.

Selain penyanyi lagu 'Anta Permana' itu, antara selebriti lain yang menerima anugerah sama adalah pelakon dan pengacara Awal Ashaari, penyanyi Wany Hasrita, pelakon Nelydia Senrose, pelakon Shaheizy Sam, pelakon Fasha Sandha dan ramai lagi.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Siti Nurhaliza


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: