03 August 2019

NAFI ADA BABAK LIWAT - RTM PANGGIL PROKUYA STUDIOS BERBINCANG


Meskipun telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' terbitan Prokuya Studios yang mengetengahkan tema Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) dalam kalangan pelajar pusat tahfiz itu belum ditayangkan namun ia telah mengundang kontroversi dan kecaman pelbagai pihak.





Hinggakan terdapat madrasah yang sedang mengumpulkan tanda tangan bagi membuat petisyen bantahan supaya telefilem itu tidak ditayangkan. Malah, ada juga dalam kalangan guru agama bergelar ustaz dan ustazah yang bernada sama sebagai tanda tidak bersetuju dengan penerbitan telefilem itu menerusi status dan komen di laman sosial masing-masing.

Penerbitnya, Fadzil Zahari berkata, mereka sudah mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak stesen televisyen iaitu RTM dalam menghasilkan karya itu: "Kalau memang berlaku liwat dalam pusat tahfiz dan membawa mesej yang buruk kepada Islam dan pusat tahfiz, kami pun takkan buat karya ini. Kami pun orang Islam. Tapi disebabkan ada mesej baik, dalam cerita ini, maksudnya ia bergantung pada pihak stesen televisyen.

"Karya ini diluluskan sebab ada garis panduan yang sudah ditetapkan dan produksi sudah ikut. Maksudnya, tidak ada babak yang keterlaluan dan memburukkan imej agama serta pusat tahfiz. Disebabkan garis panduan sudah ada, itu yang pihak RTM boleh luluskan. Sepatutnya, kena tengok dulu baru nilai," katanya.

Klik untuk gambar besar


Fadzil berkata, timbul salah faham apabila paparan skrin memaparkan gambar dua pelakon telefilem itu, Fezrul Khan dengan Syafie Naswip seolah-oleh melakukan aktiviti liwat tular. Menurutnya, itu bukan babak seperti yang difikirkan semua pihak ketika ini.

"Apa saya boleh cakap, ia bukan babak meliwat seperti didakwa. Itu adalah babak di mana budak tahfiz marah pada dia (Syafie) dan cuba halau keluar dari tahfiz disebabkan kisah silam yang pernah menjadi mak nyah. Kiranya itu babak budak tahfiz ugut dia tinggalkan pusat tahfiz itu. Pendek kata, mereka sudah salah tafsir apa yang tular," jelasnya.

Katanya, dia tidak tahu dari mana mereka mendapat gambar paparan skrin Fezrul Khan dan Syafie Naswip yang dianggap sedang meliwat: "Kami dalam siasatan siapa yang bocorkan. Sebab, kalau ikutkan hanya pihak saya, penyunting, pengarah, penerbit dan RTM saja yang ada benda ini. Tak pasti kerja siapa.

"Apabila keluarnya gambar ini, lagi orang berfikir negatif. Ia menguatkan lagi tafsiran mereka mengatakan aktiviti meliwat dalam pusat tahfiz," ujar adik kepada pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari itu.



Dalam masa sama, Fadzil menghormati dan memuji tindakan segelintir pihak yang menyatakan tanda protes terhadap penerbitan telefilem itu: "Apabila mereka tengok poster ini, mungkin ramai beranggapan kita buat aktiviti LGBT dalam pusat tahfiz. Sebab itu mereka marah.

"Hinggakan ramai ustaz memuatnaik mengenai perkara ini. Tindakan mereka bagus untuk agama kita, kerana mempertahankan Islam. Semua orang bercakap, kecam dan bantah. Bagi saya ia bagus sebab memuliakan pusat tahfiz," tuturnya.

Baginya, ia antara langkah pencinta agama untuk mempertahankan agama: "Betul apa yang mereka buat disebabkan oleh gambar ini dan 'review' daripada orang yang belum tonton cerita ini lagi. Daripada hasil pembacaan mereka, maka wujudlah petisyen dan pelbagai lagi. Tapi bagi pihak kami, ia belum ditayangkan lagi. Tak boleh nak nilai ia salah," katanya.

Susulan itu, Fadzil berkata, pihaknya dipanggil RTM untuk berbincang mengenai isu itu pada Selasa depan: "Selasa ini kami ada mesyuarat bersama pihak RTM berhubung isu ini. Mungkin ada nasihat daripada mereka. Jadi, kena tunggu".






www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: