03 August 2019

TIADA MASA URUS KAHWIN - AIN EDRUCE TERKESAN BERITA PUTUS, CERAI


Akui terkesan dengan berita putus tunang dan perceraian golongan artis ketika ini, pelakon dan pengacara Ain Edruce, 28, berharap urusannya untuk berumah tangga bersama si pelumba kereta, Amirul Hafiz, 26, pada Disember depan berjalan lancar.





Berbaki empat bulan sebelum menamatkan zaman bujang, Ain memberitahu dia ternyata masih tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan perkahwinannya. Mengikut rencana asal, majlis tersebut akan berlangsung pada Disember depan.

Ain atau nama sebenarnya, Nurulain Edruce berkata, sehingga kini aspek persiapan hari bahagianya baru diselesaikan sekitar 20 peratus. Dari sisi lain, pelakon drama 'Kekasih Paksa Rela' itu bagaimanapun bersyukur kerana selepas mengikat tali pertunangan pada 22 Jun lalu, rezekinya semakin mencurah-curah sama ada dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan.

"Buat masa sekarang, persiapan baru 20 peratus. Baju kahwin pun belum fikir lagi. Saya terlampau sibuk dengan kerja. Saya bersyukur kerana tunang merupakan seorang lelaki yang sangat memahami. Sekarang pun kami jarang berjumpa. Kalau jumpa pun mungkin seminggu sekali. Bagaimanapun, kami banyak berhubung melalui panggilan telefon.

Klik untuk gambar besar


"Alhamdulillah, ramai orang cakap selepas bertunang, rezeki semakin masuk. Saya rasa ini juga rezeki sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Saya berdoa agar segala urusan selepas ini dipermudahkan Allah. Insya-Allah," jelasnya.

Ikrarnya, sebulan sebelum tiba hari bahagia, barulah dia akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perihal perkahwinan. Ain mengakui, fasa pertunangan penuh cabaran dan turut melahirkan kerisauan seandainya ada perkara tidak diingini berlaku dalam tempoh penting sebelum bergelar isteri orang.

"Memang betul. Tetapi saya rasa, sebelum bertunang pun memang tunang saya sudah banyak bersabar dengan perangai gila saya (ketawa). Bagi saya, bergaduh atau bertikam lidah adalah perkara biasa. Apa yang penting, bagaimana kita menanganinya. Sebagai orang dewasa, perkara yang boleh dibawa berbincang, berbincanglah elok-elok.



"Jangan besarkan sesuatu masalah kerana kita bukan budak-budak lagi. Risau juga. Sehinggakan ada orang nasihatkan saya supaya jangan buat majlis di lokasi sama mana-mana pasangan yang putus tunang atau bercerai. Takut nasib sama nanti menimpa saya juga. Saya tidak berfikir sedemikian rupa.

"Kami saling berkompromi. Kadang-kadang saya jadi api dan ada masanya juga saya jadi air dan begitu juga dengan tunang. Kalau ikut pengalaman, saya yang selalu jadi api namun segala permasalahan kami selesai dengan cara baik. Sudah menginjak dewasa, perkara-perkara remeh usah diperbesarkan kerana kita takut, kerana perkara remeh itulah akan membawa kehancuran andai terlalu diperbesarkan.

"Apa pun, saya sangat bersyukur kerana tunang merupakan seorang lelaki yang sangat memahami dan faham kerja saya sebagai anak seni. Saya berdoa agar hubungan cinta kami terus bersemi dan seterusnya melangkah ke alam perkahwinan dengan jayanya," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo & Instagram Ain Edruce


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: