03 August 2019

'DEMI TUHAN AKU BERSAKSI' - PROKUYA STUDIOS TIADA NIAT CETUS PROVOKASI


"Kami tidak tahu siapa yang memulakan kontroversi ini kerana sejak awal, produksi dan pelakon, termasuk Syafie sendiri, sudah berkongsi gambar di lokasi penggambaran sekitar Mei lalu, tetapi tiada siapa pun memperkatakannya.





"Kebetulan ketika cerita Syafie putus tunang, ia serentak dengan jadual pengedaran poster rasmi drama ini yang membuatkan beberapa pihak menyangka kami sengaja menangguk di air keruh, sedangkan kerja promosi perlu dilakukan bersandarkan jadual memandangkan tarikh siaran di RTM semakin hampir.

"Lagi pun, tiada sebarang babak di dalam pusat tahfiz yang menunjukkan elemen songsang mahu pun menonjolkan lelaki berpakaian wanita kerana kami mengikuti syarat ditetapkan Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan RTM, bermula daripada tugasan praproduksi hinggalah penggambaran tamat.

"Apa pun, kelulusan daripada LPF membuktikan telefilem ini sudah mematuhi syarat dan kami tidak berasa takut atau tergugat kerana apa yang kami lakukan ini hanya dengan niat menyebarkan dakwah, bukan cuba mencetuskan kontroversi," demikian kata penerbit Eksekutif Prokuya Studios, Yana Samsudin.

Yana menjelaskan promosi dan gambar drama lakonan Syafie Naswip itu sudah dikongsi menerusi laman sosial sejak kerja penggambaran bermula sebelum Ramadan lalu, namun kontroversi tercetus hanya selepas isu putus tunang pelakon utamanya diperkatakan ramai.

Klik untuk gambar besar


Prokuya Studios tiada niat mencetuskan provokasi dengan mengangkat tema lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di pusat tahfiz menerusi drama berjudul 'Demi Tuhan Aku Bersaksi', sebaliknya ia dijadikan polemik segelintir pihak yang mendapat maklumat salah mengenai plot cerita.

Katanya, menerusi drama arahan Eyra Rahman itu, tiada sekelumit adegan semburit atau watak lelaki berperawakan wanita di dalam pusat tahfiz seperti didedahkan sebuah portal, malah sinopsis cerita dikongsi di laman sosial berkenaan juga tidak benar.

Telefilem itu turut menampilkan pelakon, Fezrul Khan, Ismail Yaacob, Taiyuddin Bakar, Aman Graseka dan Sheila Mambo. Isu berkaitan telefilem itu hangat menjadi bualan hingga ada pihak mencadangkan supaya diadakan petisyen agar siarannya dibatalkan, selepas syarikat produksi terbabit didakwa tidak sensitif apabila memaparkan elemen budaya hidup songsang di sebuah pusat keagamaan.

Terdahulu, perkara berkenaan mula diperkatakan sebaik sahaja berita mengenai Syafie ditahan polis, minggu lalu, susulan kes memukul bekas tunang kononnya gara-gara wanita terbabit memberi nasihat supaya dia menjauhi hubungan terlarang.



Sementara itu, pihak Prokuya Studios juga bakal membuat siasatan dalaman berhubung penyebaran gambar di laman maya yang menunjukkan babak kononnya berlaku di dalam pusat tahfiz, sedangkan ia hanya fitnah dalang penyebar.

"Kami sendiri tidak tahu bagaimana 'footage' berkenaan boleh sampai ke tangan individu itu dan lebih lucu, dia membuat sinopsis sendiri bersandarkan gambar berkenaan, sedangkan hakikatnya ia bukan seperti dihebahkan.

"Dakwaan sebegitu yang memanaskan lagi isu LGBT ini, tetapi apa pun kami takkan cepat melenting. Sebaliknya, kami ambil pendekatan lebih rasional dengan melakukan siasatan dalaman untuk mencari dalangnya.

"Jika tidak tahu apa-apa, usah buat-buat cerita kerana ia boleh membawa kepada fitnah. Tolong jangan tabur pasir dalam periuk nasi kami. Kita sama-sama hormati keputusan LPF kerana panel di dalamnya adalah mereka yang arifm termasuk ahli agama.

"Bukan mahu memuji produk sendiri, namun isu semasa yang kami tonjolkan ini dari perspektif berbeza. Saya pun enggan peduli dengan caci maki segelintir pihak, tetapi melihatnya dari sudut positif apabila ramai tampil memberikan sokongan," kata Yana yang juga seorang pelakon dan pengacara itu lagi.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: