12 August 2019

YANA SEDIH KELUARGA DIHINA, DIKAFIRKAN - 'DTAB' DIKETAHUI 2 MINGGU LAGI


Ahli keluarganya turut terpalit dalam kontroversi melanda telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' (DTAB), pelakon Yana Samsudin telah meluahkan rasa sedih menerusi ruang komen pada posting di Facebook milik pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Kamilin Jamilin.





Dr. Kamilin antara individu yang berkesempatan menonton telefilem tersebut bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, PU Hafiz dan ramai lagi ilmuan agama.

Menurut Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, dia terpaksa menanggung fitnah selama seminggu gara-gara isu tersebut: "Saya sebak sebab teruk ahli keluarga dihina dikafirkan, dihukum masuk neraka. Seminggu tanggung fitnah," katanya pada ruang komen.

Untuk pengetahuan anda, Yana dan suaminya, Fadzil Zahari bertindak selaku penerbit telefilem terbabit di bawah produksi Prokuya Studios. Menerusi posting Dr. Kamilin, dia tidak merasakan sentimen negatif seperti dibangkitkan sesetengah netizen. Menurut Kamilin, nilai pengajaran drama berkenaan jauh lebih dominan.

Klik untuk gambar besar


"Babak Hamid berada di pondok tahfiznya hanya pada awal cerita ketika menggambarkan situasi Hamid yang berusaha mencari ruang buat dirinya bertaubat. Saya tidak melihat ada unsur 'serangan' pada institusi tahfiz. Buli memang wujud pada mana-mana tempat yang masih 'melekat' budaya buli pelajar baru. Saya kira ramai bersepsi sedemikian kerana gambar berserban seperti kes 'Polis Evo 2' sebelum ini," katanya.

Sementara itu, keputusan sama ada telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' yang didakwa mengangkat tema lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGTB) di pusat tahfiz, lulus untuk tayangan, bakal diketahui, selewat-lewatnya, dua minggu lagi.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kajian lebih terperinci dan pandangan pihak lain perlu diperoleh sebelum keputusan dibuat: "Insya-Allah... Kita akan umumkan keputusan pada awal minggu. Kita jangka selepas minggu sambutan Aidiladha.



"Paling lewat Isnin atau Selasa pada minggu berikutnya. Saya akan beri jawapan secara bertulis, ambil kira pendapat semua yang ada. Ini kerana kami lihat (pengisian drama ini) daripada sudut negatif. Tidak adil kalau kita puji semua dan tak adil jika kita kritik semua," jelasnya.

Dr Zulkifli sebelum ini bertemu wakil produksi telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi', Prokuya Studios Sdn Bhd. Syarikat itu diwakili pasangan suami isteri, Fadzil Zahari dan Yana Samsudin merangkap penerbit serta penerbit eksekutif telefilem kontroversi itu.

Difahamkan, dalam perjumpaan yang turut dihadiri beberapa wakil agensi lain, prebiu telefilem lakonan Shafie Naswip sebagai watak utama itu, turut dikendalikan. Antara yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Ahmad Syukri Yusoff; Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Dailami Che Age dan Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, PU Hafiz.



Sebelum ini, 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' mencetuskan polemik apabila gambar babak di mana Shafie yang melilit tuala di kepala membelakangi seorang lelaki, tersebar, serta dakwaan wujud adegan liwat dalam pusat tahfiz. Netizen kemudian mengkritik penerbit hingga mengecop mereka sebagai ahli neraka disebabkan tuduhan memburuk-burukkan imej pusat tahfiz.

"Malah, petisyen menghalang RTM menyiarkan telefilem berkenaan diwujudkan di laman Facebook. Telefilem itu sepatutnya menemui penonton, awal bulan depan. Kritikan terhadapnya bermula apabila poster dan sinopsisnya disiarkan di internet. Sebahagian netizen berpendapat drama tersebut memberi pandangan negatif khususnya terhadap agama Islam.

'Demi Tuhan Aku Bersaksi' diterbitkan Prokuya Studios dan berkisarkan seorang mak nyah dijayakan pelakon Syafie Naswip cuba kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan mendalami ilmu agama. Dia kemudian memasuki sebuah pusat tahfiz tetapi penerimaan segelintir penuntut menyakitkan sehingga individu terbabit berdepan cacian dan penghinaan.






www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: