31 August 2019

"ZYNAKAL RAKAN KARIB SAYA... BERI NASIHAT BUKAN KECAM" - HAQIEM


"Saya amat bersimpati dengan Zynakal. Dia salah seorang rakan karib saya. Kami selalu berkongsi mengenai muzik dan kehidupan. Malah, pernah susah dan senang bersama. Jadi, bagi saya apabila seseorang individu melakukan kesilapan, netizen perlu memberikan kata-kata dan aura positif selain nasihat supaya dia menjadi lebih baik.





"Bukan kecam dan jatuhkan orang. Apabila dia jatuh, kita buat dia jadi lagi teruk. Saya berharap netizen boleh berikan ruang kepada Zynakal," kata penyanyi dan komposer Haqiem Rusli yang memohon jasa baik orang ramai supaya berhenti mengecam sahabat karibnya, Zynakal yang ditahan reman dan didenda selepas didakwa mencekik pekerja sebuah stesen minyak kelmarin.

Haqiem, 21, berkata, dia bersimpati dengan nasib menimpa rakannya itu. Dalam masa sama, Haqiem menyarankan agar segelintir artis berhenti mengecam Zynakal: "Apa saya perasan, ada rakan artis yang kecam dia. Saya sarankan jangan buat begitu. Kalau kena batang hidung sendiri baru rasa. Sebagai rakan artis, kita kena sokong, bagi nasihat dan tolong dia".

Klik untuk gambar besar


Ditanya adakah dia akan melawat Zynakal di lokap, Haqiem belum dapat memberi kepastian: "Kalau nak melawat, saya belum pasti lagi buat masa sekarang kerana sibuk dengan komitmen kerja. Jika ada masa saya akan pergi".

Terdahulu, penyanyi lelaki yang juga komposer lagu berbakat ditahan polis selepas bertindak mencekik seorang pekerja sebuah stesen minyak di Ampang. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada 28 Ogos lalu, penyanyi berusia 21 tahun terbabit ditahan anggota polis selepas kejadian itu dimaklumkan oleh pengurus stesen minyak berkenaan.

Pagi semalam, Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli didenda RM2,800 Mahkamah Majistret Ampang selepas mengaku salah ke atas kedua-dua pertuduhan iaitu mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Haqiem Rusli & Zynakal


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: