05 September 2019

AL-FATIHAH - GITARIS AJI KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada keluarga pemain gitar terkenal, Fauzi Samin atau Aji, 50, atas pemergiannya yang meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah pusat perubatan swasta di Bukit Rimau, Shah Alam, pagi tadi.





Allahyarham Aji difahamkan mengalami serangan jantung ketika mendapatkan rawatan di Hospital Columbia di Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 11.45 pagi. Arwah dikatakan mengalami muntah-muntah antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi pada hari yang sama pada mulanya menyangka dirinya mengalami gastrik.

Selepas mengambil ubat gastrik, kesakitannya berlarutan lalu dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika menerima rawatan, Aji telah terkena serangan jantung kali kedua lalu meninggal dunia. Rakan baiknya yang juga pengarah muzik, Faizal Uzir berkata, Aji mengalami serangan jantung di rumahnya selepas Subuh di rumahnya hari ini sebelum dibawa ke pusat perubatan berkenaan.

Klik untuk gambar besar


"Pada mulanya doktor memaklumkan Aji sudah sedarkan diri tetapi berada dalam keadaan lemah di ICU (Unit Rawatan Rapi). Bagaimanapun tak sampai sejam selepas itu, seorang rakan yang berkunjung ke sana membawa berita dia sudah meninggal dunia," jelasnya.

Sementara itu, Juita Jalil yang juga rakan Allahyarham dan pengurus artis itu berkata arwah dikejarkan ke hospital berkenaan pagi tadi oleh keluarganya, namun disahkan meninggal kira-kira jam 11.45 pagi: "Saya memang terkejut sebaik sahaja mendengar berita pemergiannya kerana kami baru sahaja berjumpa minggu lalu untuk meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-50 bersama beberapa teman lain.



"Dalam pertemuan itu, kami sempat bersembang mengenai kisah silam, ketika arwah dan suami saya, Pacai, membuat persembahan bersama di luar negara serta mengiringi ramai artis ternama. Arwah adalah sahabat lama suami saya dan dia juga pernah tinggal bersama kami, sebelum ini. Walaupun sedih, kami bersyukur kerana sempat meluangkan masa bersama," katanya.

Sementara itu, rakan seangkatan arwah yang juga pemain gitar popular, Aznan Alias, memaklumkan jenazah Allahyarham sedang diuruskan oleh keluarganya: "Kami sedang menguruskan jenazah dan keluarganya juga kini masih berbincang mengenai lokasi pengebumian".

Selain Ramli dan Ella, ramai penyanyi pernah bekerjasama dengannya dalam rakaman album, single dan konsert turut meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah di laman sosial masing-masing. Difahamkan, pada malam ini, Aji sepatutnya mengiringi persembahan Datuk Ramli Sarip di Melaka. Sepanjang kerjayanya, Aji yang juga anak didik Man Kidal pernah mengiringi konsert artis ternama negara antaranya, Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Ramli Sarip.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Kosmo & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: