11 September 2019

BEBAS DENGAN JAMINAN POLIS - MAMAT EXIST TERUSKAN LATIHAN REUNION


Bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat telah dibebaskan dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang semalam selepas ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam. Mamat kemudian terus dibawa ke ibu negara oleh penganjur konsert Reunion Exists, Shiraz Projects.





Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin memberikan tumpuan pada latihan dan persiapan konsert gabungan semula kumpulan terbabit di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 September ini.

"Alhamdulillah, Mamat berada dalam keadaan baik. Saya belum sempat berbual panjang dengannya. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur, petang ini juga," kata Shirazdeen dalam kenyataan dikirimkan kepada BH Online, sebentar tadi.

Selaku penganjur konsert, pihak terbabit turut merancang sidang media khas bersama Mamat dalam masa terdekat: "Kami memang mempunyai perancangan untuk mengadakan sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar, selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion," ujarnya.

Sementara itu, anggota lain kumpulan berkenaan menyambut berita pembebasan rakan seperjuangan mereka dengan penuh syukur: "Tiada apa yang lebih baik untuk kami lafazkan, selain mengucap syukur ke hadrat Allah. Terima kasih kepada pihak penganjur, Shiraz Projects, yang sangat peka dan prihatin. Ia menunjukkan penganjur konsert kami menjalankan tanggungjawab lebih daripada komitmen sebenarnya. Sikap begini harus dicontohi," tutur mereka.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Musa Radhi, 46, pemain bass kumpulan Exists berkata, Exists Reunion juga sudah mengadakan mesyuarat secara tertutup dengan Shiraz Projects berkenaan isu itu: "Banyak kali saya cakap, kali ini sahaja kita buat. Sebab sebenarnya berat untuk kami pikul masalah Mamat. Kami secara kolektif tengok reaksi peminat dan mendapati ada yang pro dan kontra.

"Apabila membabitkan dadah, orang Malaysia lihat ia sesuatu yang amat dibenci dan akan jatuhkan hukuman. Kalau ikut pandangan satu pihak, mereka suruh jatuhkan hukuman. Tapi kami dah ada kontrak dengan Shiraz Projects dan perlu ikut syarat yang dipersetujui," katanya.

Bercerita lanjut, Musa menjelaskan apabila perancangan untuk mengadakan konsert itu dibuat, dia, Along dan Ujang awal-awal lagi sudah berterus terang enggan menjaga Mamat: "Kami tegaskan kepada penganjur akan terbabit dalam Konsert Exists Reunion tapi tidak berani nak jaga Mamat.

"Kami dah sedar risikonya dari awal dan jangan letakkan Mamat di bawah kami. Contohnya dalam Konsert Minggu Ini RTM pada Julai lalu, kami dah cakap awal-awal jangan salahkan kami jika dia gagal hadir. Ia berbeza dengan Ezad kerana kami nampak komitmennya dan dia boleh gunakan akal dengan waras," tutur Musa.



Musa berkata, dia turut mendapat persetujuan Shah dan Ajai untuk memikul tanggungjawab memasukkan Mamat dalam Konsert Exists Reunion dan mereka masing-masing bersetuju untuk sekali ini sahaja. Menurutnya, anggota Exists Reunion yang lain cuba mengatasi kekurangan Mamat apabila cuba menampakkan kebolehannya di mata peminat.

"Amat sayang dia mempersia-siakan peluang ini. Apabila Konsert Exists Reunion dibuat, dia tampil semula dengan pelbagai masalah sama macam dulu. Sedangkan konsert ini akan bawa manfaat kepadanya selepas ini. Kami hasilkan single baru ikut kemampuannya walaupun tahu vokalnya banyak kekurangan sekarang. Dia sepatutnya jaga kredibiliti kerana mungkin namanya boleh naik semula," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Mamat dilaporkan ditahan polis ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, kerana memiliki sejumlah dadah. Sumber berkata, Penyanyi berusia 41 tahun yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan realiti televisyen, empat tahun lalu itu ditahan bersama seorang rakannya, kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu dalam pemilikan mereka. Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Harian Metro & Astro Gempak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: