03 September 2019

ISTERI SHARNAAZ AKUI KEPUTUSAN CERAI PERSETUJUAN BERSAMA


"Saya agak terkejut dengan kenyataan balasnya (Sharnaaz), seolah-olah dia tidak menjangkakan perkara ini (permohonan cerai). Sedangkan, kami bersetuju untuk bercerai selepas usaha untuk membaik pulih perkahwinan tidak berjaya. Selain itu, kami juga ingin menyelesaikan permasalahan ini secara baik, damai, aman dan waras. Semua itu dilakukan demi masa depan anak kami, Jebat Jayden.





"Apa sahaja yang terjadi, memang anak yang akan menjadi keutamaan kami, sekarang," demikian kata kakak Noor Neelofa iaitu Noor Nabila Mohd Noor, 35, yang menegaskan keputusan untuk berpisah adalah hasil persetujuan secara bersama dengan suami, pelakon Sharnaaz Ahmad, 34, selepas usaha untuk memperbaiki hubungan mereka sebagai pasangan suami isteri menemui kegagalan.

Baru-baru ini, Nabila mengaku dia sudah memfailkan perceraian terhadap Sharnaaz selepas gosip mengenai perkara itu kencang diperkatakan media. Sharnaaz pula berkata, dia menerima dengan penuh reda andai perpisahan menjadi jalan akhir menamatkan kemelut melanda rumah tangganya bersama Nabila. Kata bintang Juvana berkenaan, jika perpisahan yang dipinta isterinya, tiada apa lagi mampu dilakukannya.

Klik untuk gambar besar


Menurut Nabila, dia menerima surat perjanjian cerai daripada Sharnaaz menerusi aplikasi WhatsApp dan pada masa sama, peguam pelakon itu turut menghantar butiran sama menerusi e-mel: "Saya menerima surat perjanjian cerai itu daripada Sharnaaz pada 26 Ogos lalu. Dia juga meletakkan beberapa terma perceraian. Selepas berbincang dengan peguam saya, kami (saya dan peguam) bersetuju untuk memfailkan kes ini di mahkamah pada 27 Ogos. Buat masa ini, kami sedang menunggu hari perbicaraan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan sikap panas baran suami dan kewujudan orang ketiga dalam hidup lelaki itu menjadi punca mereka bertindak demikian, Nabila memilih untuk tidak menidakkan mahupun mengiyakan: "Saya tidak mahu komen bab itu. Kami pun sudah tidak tinggal sebumbung, sejak Februari tahun lalu," kata Nabila yang mendirikan rumah tangga dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017.

Kisah rumah tangga pasangan terbabit kembali menjadi perhatian, hujung Ogos lalu, apabila sebuah portal menyiarkan artikel kononnya Nabila memfailkan perceraian terhadap pelakon filem 'Wangi' itu. Nabila difahamkan berbuat demikian apabila berkongsi sekeping foto dipercayai Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta, di Instagram Story miliknya. Malah, dia juga didakwa memuatnaik status dikatakan menguatkan lagi spekulasi dirinya berdepan masalah rumah tangga.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Noor Nabila & Sharnaaz Ahmad


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: