28 September 2019

NAFI 'SEPI' LEPAS KAHWIN - WAHEEDA AKUI MASIH AKTIF, HASILKAN LAGU


Sudah lama kita tidak dengar nama penyanyi Waheeda atau nama sebenarnya Norwahidah Abdul Wahab, 41, semenjak dia berkahwin dengan penceramah bebas, Akhil Hayy Rawa. Bagaimanapun, Waheeda menolak tanggapan beberapa pihak yang mengatakan dirinya menghilangkan diri selepas bergelar isteri. Menurutnya, sebaik mendirikan rumah tangga pada 2009 dia menghasilkan lagu dengan berada di belakang tabir.





"Saya tidak pernah merindui zaman popular dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada matlamat hidup yang perlu diperjuangkan. Sepanjang 10 tahun ini, saya sudah menghasilkan 50 lagu untuk penyanyi baharu. Saya masih aktif, tetapi kehidupan sekarang bukan seperti dahulu," katanya.

Menurutnya, semua hasil seninya berbentuk nasihat, kerohanian, kritis dan berilmiah yang bertujuan mendidik masyarakat: Lagu yang dihasilkan ini bukan untuk popular sebaliknya bertujuan mengubah minda pendengar. Dalam industri hiburan, sampai bila kita perlu berada di takuk itu".

Katanya, dia yang bergerak menerusi produksinya, Clef akan mengeluarkan single terbaru berjudul 'Ighfir Zunubi' nyanyian Akhil Hayy dan Mawi. Menyingkap sejarah lalu, Waheeda tidak bercadang menjadi penyanyi sebaliknya ia permintaan produser.

Klik untuk gambar besar


"Selepas berkahwin, saya terfikir mahu menghentikan aktiviti seni tetapi ia percaturan Allah. Mungkin hasil karya ini boleh memberi manfaat kepada orang lain," ujarnya yang berkarya di rumahnya di Damansara.

Mengenai rumah tangganya, Waheeda mengakui bahagia malah Akhil bukan saja seorang suami tetapi teman baik: "Selain menjadi isteri, saya juga membesarkan dua anak suami (bersama Maizawati) dan mendalami ilmu agama. Buat artis baharu janganlah terlalu mengejar populariti kerana ia datang dan pergi," jelasnya yang meminati Floor88.

Bagi artis berusia bawah 18 tahun, Waheeda menasihatkan mereka menamatkan pelajaran terlebih dahulu kerana ilmu begitu penting. Waheeda sebelum ini terkenal menerusi lagunya, Wassini dan pernah dicalonkan Top 5 bagi Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003, 2004 dan 2005. Dia juga memenangi Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2005 dan 2008 serta Juara Kategori Irama Malaysia di Anugerah Juara Lagu 2003.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: