08 September 2019

PULANG KE RUMAH - BAPA BERHASRAT BAWA AINUL MARDHIAH TUNAI UMRAH


Akhirnya adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin pulang semula ke rumahnya semalam di Rumah Awam Ayer Molek, selepas empat bulan mendapatkan rawatan sehingga ke London, England bagi membuang ketumbuhan dalam mulutnya. Bayi yang mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas menderita penyakit sel kanser mulut Germ Cell Tumor itu dibenarkan pulang dari Hospital Melaka sehari selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Lumpur kelmarin.





Menurut bapanya, Ahmad Safiuddin Razak, 24, Ainul Mardhiah yang kini berusia setahun sebulan sedang menyesuaikan dirinya dengan suasana di dalam rumah dan tidur di atas tilamnya sendiri setelah berbulan-bulan terbaring di katil hospital.

"Alhamdulillah malam tadi Ainul Mardhiah dapat tidur dengan lena, cuma perlu pemantauan kerana dia sudah pandai membuka tiub bantuan oksigen yang dipasangkan pada lehernya. Selebihnya, keadaan Ainul Mardhiah semakin baik dan dia sudah pandai memusingkan badan ke kiri kanan, mengenal bunyi mainan serta senyum," katanya ketika ditemui di kediaman mereka.

Klik untuk gambar besar


Jelasnya, dia dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, bagaimanapun perlu lebih berhati-hati dalam menjaga persekitaran Ainul Mardhiah bagi memastikan bayi itu dapat terus pulih tanpa sebarang masalah kesihatan yang serius: "Terdahulu kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang prihatin dengan keadaan Ainul Mardhiah sekiranya tidak dapat mendukung atau memegang puteri kami.

"Keadaan kesihatannya masih terdedah dengan risiko tinggi untuk dijangkiti sebarang virus, jadi kami sekeluarga hanya dapat membenarkan Ainul Mardhiah diziarahi dari dalam kelambu yang dipasangkan," tuturnya yang berhasrat membawa bayinya itu menunaikan umrah apabila anaknya itu sihat kelak.

Mengulas lanjut, Ahmad Safiuddin berkata, Ainul Mardhiah kini menggunakan bantuan oksigen ekoran belum dapat menelan air liur dengan baik setelah berbulan-bulan mempunyai ketumbuhan di dalam mulutnya. Katanya, puterinya itu juga masih menggunakan tiub susu, namun berat badannya telah bertambah satu kilogram (kg) kepada 3.8 kg sejak ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya berjaya dibuang dalam pembedahan yang dilakukan di sebuah hospital di London pada 10 Jun lalu. Jelasnya, beberapa rawatan susulan akan dibuat di Hospital Melaka termasuk fisioterapi, pemakanan dan ENT (Telinga, Hidung, Tekak).




www.myartis.com / Sumber: Kosmo & Instagram Ahmad Safiuddin Ahmad Razak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: