25 September 2019

SELESA BERSELENDANG - WANN MOHON DOAKANNYA AGAR BERHIJAB PENUH


"Saya mula secara perlahan-lahan dengan cara memakai sebegini (selendang) sudah empat tahun. Rasanya sudah tiba waktunya dan doakanlah saya agar berhijab penuh. Tapi kadang-kadang iman masih turun naik, ada waktunya saya istighfar banyak-banyak agar diberi hidayah untuk tutup secara penuh," tutur penyanyi bersuara 'meneran', Wann atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid.





Terpilih dalam program realiti fenomena, Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Wann mempunyai 'trademark' tersendiri dalam imejnya. Selesa mengenakan selendang sejak beberapa tahun lalu, Wann akui dia kini dalam proses belajar untuk berhijab penuh. Wann yang popular dengan lagu 'Bossanova' dan terkenal dengan usikan manjanya 'Wann Teran' itu tidak kisah dengan kecaman netizen kerana sudah lali dengan kata-kata negatif yang mempersoalkan imejnya.

"Ketika saya mula menaynyi, saya sudah lali dengan kecaman orang ramai. Meski ketika itu tiada media sosial yang besar macam sekarang ini. Tipulah saya cakap saya tak terasa. Bagaimanapun, saya tak marah mereka (netizen), sebaliknya saya mengaminkan setiap kata-kata mereka dan itu merupakan satu ujian buat saya juga," kata penyanyi berusia 49 tahun ini.

Malah, baginya dia selesa dengan pemakaian separa hijab seperti kini: "Kalau tak tutup dan tak pakai selendang, saya rasa tak selesa pula. Saya rasa macam 'kosong' atas kepala. Jadi saya harap peminat dan pihak di luar sana mendoakan saya agar memakai tudung sepenuhnya".

GV6 yang bakal bersiaran di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula 13 Oktober ini dan masih mengekalkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara itu mempertaruhkan barisan penyanyi profesional seperti Sham (Visa), Jatt (Black Dog Bone), Roy, Ameer (Sofazr), Hady Mirza, Naqiu (Boboy), Wann, Mazleeda, Feeza, Noorshila Amin, Nurfatima, kool dan One Nation Emcess.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, meskipun kelibatnya jarang muncul di kaca televisyen, penyanyi bersuara serak-serak basah itu mengakui masih aktif memenuhi undangan persembahan sama ada di Singapura atau Malaysia. Penyanyi 'Aku Dalam Teka-Teki' itu juga mengakui, memang ada ramai peminat memintanya melakukan perubahan agar tampil lebih kelihatan sebagai Muslimah.

"Itu saya anggap sebagai cabaran yang perlu ditempuhi. Peminat bagitahu saya akan lebih cantik dan manis kalau tutup kepala betul-betul. Saya aminkan apa mereka cakap," katanya yang dilahirkan di Kuala Kangsar sudah 25 tahun menetap di Singapura.

Sementara itu, mengulas penyertaannya dalam GV6, Wann berkata, dia pernah didatangi pihak penganjur, Astro, sebanyak tiga kali namun gagal memberikan kata putus untuk menyertai pertandingan berkenaan sebelum ini. Katanya, dia masih belum bersedia sepenuhnya pada waktu itu. Menurut Wann, jika ditakdirkan dia memenangi GV6, harapannya yang pertama ialah untuk merakam sebuah lagu comeback bagi mengubat rindu peminat

"Saya takut bila nak menyanyikan lagu orang lain. Sampai sekarang pun kalau nak menyanyi masih berderau bila naik pentas. Nak-nak pula kalau diberi tugasan nyanyi genre hip hop. Kalau ada rezeki teringin masuk studio rakam lagu baru," jelasnya.




www.myartis.com / Sumber: Media Hiburan & malaysiakini


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: