01 September 2019

SHARNAAZ REDA ANDAI PERPISAHAN DIPINTA NABILA


"Jujurnya, lidah saya kelu untuk berkata apa-apa. Memandangkan dia (Nabila) yang meminta perkara itu (perceraian), saya kena ikut sajalah. Saya takkan bercakap perkara yang buruk kerana saya masih matang dan waras untuk berfikir. Nabila ialah ibu kepada anak kami (Jebat Jayden). Hal rumah tangga adalah terlalu peribadi.





"Sejak awal lagi, saya tidak gemar berkongsi (mengenai perkara itu) dengan media. Namun, berikutan ia sudah dibawa ke mahkamah, saya sekadar ingin memaklumkan, saya cukup matang untuk melaluinya," demikian kata pelakon Sharnaaz Ahmad, 34, yang menerima dengan penuh reda andai perpisahan menjadi jalan akhir menamatkan kemelut melanda rumah tangganya bersama Noor Nabila, 35.

Kata bintang 'Juvana' berkenaan, jika perpisahan yang dipinta isterinya, tiada apa lagi mampu dilakukannya. Sharnaaz berkata demikian ketika mengulas mengenai Nabila yang mengesahkan dia sudah pun memfailkan perceraian terhadap suaminya, tetapi enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya berbuat demikian.

Klik untuk gambar besar


Sharnaaz yang akan muncul dengan filem 'Wangi' tidak lama lagi itu memberitahu, seandainya sesuatu tidak manis berlaku terhadap rumah tangganya, dia akan menerimanya secara budiman: "Mungkin inilah harga harus saya bayar terhadap setiap keputusan yang saya buat dalam hidup. Saya terima dugaan ini secara budiman. Saya lelaki dan orang yang sentiasa tidak gentar menerima risiko dalam hidup".

Sharnaaz turut berkata, saat berdepan ujian sedemikian, dia memanjat kesyukuran kerana keluarga sentiasa berada di belakangnya untuk memberikan sokongan moral: "Ibu bapa dan adik-beradik saya tidak pernah masuk campur dalam hal rumah tangga kami.



"Ia prinsip keluarga saya sejak awal lagi. Mereka yakin, saya sudah matang untuk menanganinya. Namun, mereka takkan membiarkan saya bersendirian melalui saat sukar, sebaliknya sentiasa memberikan sokongan moral buat saya," ujar Sharnaaz yang mendakwa sudah melantik peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

Sharnaaz menambah, apa sahaja yang berlaku, Jebat tetap menjadi keutamaan dirinya: "Insya-Allah, saya baik-baik sahaja. Saya percaya, apa yang berlaku dalam hidup pasti ada hikmahnya. Apa yang penting adalah fokus dan keutamaan diberikan kepada anak kami," tutur Sharnaaz yang seboleh-bolehnya enggan melihat si kecil terheret sama dalam kemelut melanda.

Dalam pada itu, menjawab tuduhan liar warganet konon masalah rumah tangga dihadapinya mempunyai kaitan dengan sikap panas baran, aktor dari Pulau Pinang itu menyifatkan dakwaan sedemikian tidak berasas: "Baran adalah mainan 'budak-budak' sebelum kahwin," jelasnya yang mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada 31 Mac 2017 dan mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden, pada 30 Ogos tahun lalu.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Sharnaaz Ahmad & Noor Nabila


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: