25 September 2019

TEKANAN DARAH MASIH TINGGI - SUAMI RISAU KANDUNGAN ABBY


"Sebelum ini Abby pernah keguguran dan pada 2016 pula, bayi dikandung mati dalam perut gara-gara mengalami tekanan darah tinggi. Apabila Abby berdepan situasi sama ketika kandungan ketiga ini, ia menggusarkan hati saya. Sudah dua hari Abby mendapat rawatan, tetapi bacaan tekanan darah masih tidak normal. Hingga kini dia masih dalam pemerhatian doktor.





"Ketika ini, Abby masih terasa pening. Bagaimanapun, anak dalam kandungan berada keadaan sihat, syukur Alhamdulillah," jelas suami pelakon Abby Abadi, Jai Ezzanny atau nama sebenarnya Faizal Zakaria, 45, yang turut memberitahu bacaan tekanan darah isterinya turun dan naik antara 116 hingga 191 serta perlu mendapat pemerhatian doktor sepenuhnya, lebih-lebih lagi dia kini hamil enam bulan anak sulung mereka.

Bacaan tekanan darah Abby masih tinggi selepas dua hari menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Selangor. Semalam, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 42, berkongsi mengenai keadaannya yang mengalami tekanan darah tinggi, di Instagram miliknya, selain meluahkan kebimbangan terhadap bayi dalam kandungan.

Klik untuk gambar besar


Menerusi laman Instagram Jai Ezzany pula, dia memberitahu, isterinya dalam pemantauan doktor selama 24 jam kerana keadaannya yang tidak stabil. Sementara itu, Jai berkata, memandangkan bekas suami Abby iaitu pelakon Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza, telah melangsungkan majlis doa selamat sempena ulang tahun perkahwinan, malam semalam, mereka turut mengadakan solat hajat buat Abby.

"Malam ini (semalam), alang-alang Norman buat majlis doa selamat, kami juga mengadakan solat hajat buat Abby dan anak dalam kandungan. Sebagai suami dan bakal ayah, siapa yang tidak risau? Apatah lagi perkara ini pernah berlaku. Saya berusaha menjaganya sebaik mungkin. Cuma kasihan anak-anak, mereka rindukan ibunya. Mereka hanya mampu berhubung melalui panggilan video. Doakan buat isteri saya," tuturnya.

Untuk makluman, Abby dan Jay Ezzany berkahwin pada 14 Ogos 2015 dan mereka mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia, yang dijaga sejak setahun lalu. Abby juga mempunyai tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11, hasil perkahwinan dengan Norman.








www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Jai Ezzany & Abby Abadi


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: