29 September 2019

URUSAN BADAL HAJI ALLAHYARHAM YAZIT DIURUS YKAT


"Ketika YKAT memperkenalkan skim khairat, Allahyarham menjadi artis perintis daripada 500 peserta yang menandatanganinya, malah saban tahun memperbaharui penyertaan. Yayasan sudah menyerahkan sumbangan pengurusan jenazah lengkap berjumlah RM1,500 kerana pengebumiannya diuruskan waris Allahyarham. Berdasarkan Skim Khairat YKAT juga, manfaat upah haji percuma turut disediakan.





Namun, jika keluarga atau waris ingin menguruskannya sendiri, kita akan salurkan sejumlah wang kepada mereka," kata pengerusinya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave yang berkata bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit antara penggiat seni terawal yang menyertai program Khairat Kematian Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), sekali dengan urusan badal haji.

YKAT bersama sebuah syarikat akan menguruskan upah haji untuk Allahyarham Yazit Ahmad mengikut pakej yang ditandatangani arwah, kira-kira tiga tahun lalu. Mengenai sumbangan bulanan sebanyak RM500 yang diberikan kepada Allahyarham, sejak 16 bulan lalu, kata Dave, perkara itu akan dibincangkan bersama Lembaga Pengarah yayasan terbabit.

"Bantuan itu disalurkan kepada Yazit bagi meringankan bebannya yang menanggung kos perubatan, rawatan dan dialisis tiga kali seminggu. Sama ada sumbangan diteruskan atau tidak, kepada warisnya, ia akan diperincikan. Jika dihentikan sekalipun, ia bukan secara serta-merta.

"Kita mempunyai ramai ahli berdepan masalah hampir sama, seperti mempunyai penyakit kronik, hilang keupayaan bekerja dan warga emas. Jika ada ahli lain, yang masih dalam senarai menunggu bantuan bulanan dan dilihat lebih memerlukan, keutamaan tentu sahaja diberikan kepada mereka," ulasnya.

Yazit menghembuskan nafas terakhir, Khamis lalu, selepas dua hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL). Doktor mengesahkan Allahyarham yang menghidap sakit buah pinggang dan komplikasi lain mengalami kecederaan otak berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan, selain bergantung pada sokongan mesin hayat.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: