15 October 2019
"AMBIL 'CURI-CURI'... SEBAR TANPA USUL PERIKSA" - ANAK MAMAT KHALID
Baru-baru ini, foto pengarah filem, Mamat Khalid terbaring di katil hospital, tular hingga ada yang menyangka masalah jantung dihadapi membuatkan dirinya koma. Keluarga Mamat kesal dan kecewa dengan tindakan segelintir pelawat hospital yang sanggup menyelinap masuk ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) semata-mata untuk mengambil gambar pengarah 'Hantu Kak Limah' itu.
Malah individu-individu tidak bertanggungjawab itu berkongsi foto Mamat terbaring di hospital diiringi keterangan mengelirukan hingga tular. Tindakan itu menyebabkan ramai peminat Mamat menyangka dirinya kritikal. Isterinya, Hasmah Hassan berkata, perbuatan tidak beradab itu disedari menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikesan jururawat pada pagi Ahad lalu.
"Suami saya dimasukkan ke hospital pada petang Sabtu lalu dan sekitar awal pagi Ahad, ada lima individu yang kami tidak kenal menyelinap masuk ke dalam wad ICU yang menempatkan Mamat untuk mengambil gambarnya. Saya sangat kecewa dan marah kerana mereka masuk tanpa kebenaran keluarga dan curi-curi pula ambil gambar suami yang masih dalam rawatan. Mereka sangat tidak beradab dan saya anggap kurang ajar kerana tidak tahu adab melawat orang sakit. Apa yang mereka mahu hanya ambil gambar suami untuk ditularkan," tuturnya.
Menurut Hasmah yang mesra dengan panggilan Kak Intan, pelawat tidak bermoral berkenaan dianggap mahu menjadi jaguh untuk menunjuk kepada masyarakat luar betapa mereka adalah orang terawal yang dapat mengambil gambar pengarah tersebut dalam keadaan sakit.
"Dalam tempoh beberapa jam gambar diambil mereka tular dan talian telefon saya terus jadi sibuk seperti bursa saham. Saya tertekan hingga tekanan darah pun naik. Saya dan keluarga dalam musibah dan sepatutnya hormatlah perasaan kami. Malah, disebabkan gambar tular itu ramai orang ingat keadaan suami saya teruk," katanya.
Ditanya mengenai perkembangan terkini Mamat, Hasmah berkata, petang semalam suaminya sudah membuka mata ketika menerima kunjungan beberapa orang penerbit dari Kuala Lumpur yang datang melawat: "Dia juga ada menggerakkan kaki. Insya-Allah semuanya ok. Suami saya ini semangatnya kuat. Apapun, saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang juga peminat karya suami saya termasuk sahabat yang sentiasa mengutus doa".
Klik untuk gambar besar
Hasmah meminta orang ramai terus berdoa untuk Mamat supaya pulih dan diberi kesembuhan semula oleh Allah untuk meneruskan perjuangan seninya. Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, dimasukkan ke ICU di sebuah pusat rawatan di Ipoh, Perak, Sabtu lalu selepas mengadu sesak nafas.
Sementara itu, anak Mamat, Nor Sara berkata, dakwaan palsu bersandarkan apa yang dilihat tanpa kesahihan boleh mengundang andaian negatif, sedangkan ayahnya hanya direhatkan doktor: "Tengok gambar memang wajah dan tubuh ayah nampak bengkak. Tetapi itu berpunca daripada 'water retention' dan proses mengeluarkan air berlebihan dari badannya lancar.
"Tekanan darah dan buah pinggang papa okay... Ramai risau apabila gambar itu disebarkan di media sosial. Kami tiada niat berahsia. Ini kerana siapa yang tahu, tahulah. Lagi pun, papa yang meminta dihantar ke hospital selepas sesak nafas. Apatah lagi, sudah dua minggu dia mengadu tak sedap badan," jelasnya.
Nor Sara berkata, ayahnya diberi dos untuk tidur sepanjang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ipoh, Perak: "Ini penting supaya ayah boleh berehat. Tiada apa yang perlu dirisaukan, cuma akibat penyebaran gambar itu membuatkan situasi jadi tidak terkawal.
"Kami harap sesiapa saja hormatilah perasan pesakit dan keluarga. Saya cakap bukan sebab papa orang dikenali, ini demi pesakit lain juga kerana melawat orang sakit pun perlu ikut adab. Apatah lagi ambil gambar 'curi-curi' dan kemudian disebarkan tanpa usul periksa," ujarnya.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment