02 October 2019

'BABY D' ALAMI PENDARAHAN DALAM PARU-PARU - ABBY & SUAMI MOHON DOA


Menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagramnya, suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Faizal Zakaria atau lebih dikenali Jai Ezzany memaklumkan anaknya yang dipanggil 'Baby D' itu mengalami pendarahan di bahagian paru-paru. Jai dan Abby memohon orang ramai mendoakan kesihatan anak lelakinya yang kini berada di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU).





"Hari ke 5... Baby D hari ni abah dan mama @abby_abadi112 datang jumpa baby lagi, gelisah rasa hati kalau lambat ke NICU untuk berbual-bual dengan baby. Abah dan mama tak mahu baby sunyi. Abah dapat rasakan baby rindukan sentuhan mama dan sentuhan abah juga kan sayang. Baby D... Suka sebenarnya untuk abah kongsikan perkembangan baby pada kawan-kawan abah dan mama. Tapi abah serba salah... Abah tak pasti nak kongsikan hanya cerita gembira saja ke atau kedua-duanya.

"Dari hari ke hari, rasa macam tak kuat untuk simpan sendiri cerita sedih tentang Baby D. Setelah difikirkan, abah perlu kongsi juga cerita tentang Baby D supaya semua dapat mendoakan kesihatan baby ya sayang. Zohor tadi doc dari NICU call ward minta mama turun ke tempat baby untuk ambil darah, abah dan mama ingatkan itu perkara biasa... Rupanya... Ada cerita yang mengharukan dari doktor.

"Gementar bila doktor beritahu ada pendarahan pada paru-paru anak abah mama. Bahaya ke, abah tanya doktor. Doktor kata ya... Luluh jantung abah mendengarnya. Dalam pada tersenyum bahagia menerima kehadiranmu, hati abah menangis sebab tak sanggup melihat baby D dalam keadaaan begini sebenarnya," coretnya.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, Faizal juga mengakui bahawa doktor sudah memberitahu risiko yang bakal dilalui oleh mereka suami isteri: "Dari awal doktor dah tak beri harapan pada mama abah, tapi bila abah renung raut wajah baby D, naluri abah dapat rasakan baby abah akan terus kuat dan bertahan kan sayang.

"Maghrib ni pun ada berita sampai kat mama, beritahu yang baby kritikal, tapi mama abah macam tak nak terima berita tu sebab mama abah yakin ALLAH tetap mendengar doa abah dan mama termasuk doa mereka-mereka yang mendoakan baby di luar sana. Hanya mengharapkan keajaiban dari ALLAH yang mampu mengubah segala-galanya. Allah lebih berkuasa dan Maha mendengar #DoakanBabyDkami #SemogaPanjangUmurnya #HanyaDoaMampuMengubahTakdir," tulisnya.

Terdahulu, Abby terpaksa melahirkan bayi lelakinya secara pembedahan dan pramatang demi menyelamatkan nyawa kedua-duanya selepas Abby mengalami tanda-tanda bersalin pada awal pagi. Sebelum ini pada tahun 2017, Abby mendedahkan pernah mengalami keguguran ketika usia kandungannya berusia lima bulan. Abby mendirikan rumah tangga dengan Faizal Zakaria pada 14 Ogos 2015. Abby dan Faizal turut mempunyai dua orang anak angkat bernama Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia.


www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Jai Ezzany


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: