27 October 2019

BILA ZUL HUZAIMY IMPI JADI WAKIL RAKYAT ATAU WAKIL GOLONGAN ARTIS


Memasang impian untuk menjadi wakil rakyat atau wakil golongan artis pada masa hadapan, pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy Marzuki, 40, berkata, dia terpanggil untuk berbuat demikian apabila melihat industri seni kreatif kini seakan dipinggirkan kerajaan sejak ketiadaan Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia dua tahun lalu.





"Pengganti peranan Allahyarham sebagai senator dalam dewan sudah tiada. Apabila saya semak, yang ada hanya wakil pesilat. Jadi suara anak seni kreatif sama ada tarian, teater, drama, filem, nyanyian, radio dan sebagainya tidak didengarkan di dalam dewan.

"Jadi apa lagi yang kita boleh buat? Cuma kita beruntung kerana dua anak seni iaitu Ahmad Idham dan Datuk Hans Isaac dipilih menaungi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam skop filem. Persoalannya bahagian seni kreatif lain di mana?," katanya.

Selain berlakon dan mengarah, Zul yang baru menjuarai program All Stars Buka Panggung juga bergelar Presiden Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Presiden Kelab Motosikal Spark Malaysia. Persatuan Alumni Aswara terbabit dalam seni budaya, kebetulan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Klik untuk gambar besar


"Jadi, saya cuba babitkan diri dengan ambil peluang ini. Saya fikirkan kenapa tidak saya bantu anak-anak seni dari sini. Mungkin ada akta yang boleh digubal dengan memberi ruang serta peluang yang besar balik kepada anak-anak seni kreatif," ujarnya.

Menurutnya, jika ada ruang dia pasti akan bertanding kerana niatnya mahu membela kebajikan anak-anak seni. Dengan adanya kuasa, mudah untuk saya beri semula apa yang diperlukan oleh anak seni: "Mungkin di peringkat atasan faham berkenaan seni dan budaya tapi tak mendalam seperti apa yang kita rasa".

Dalam masa sama, Zul juga terbabit aktif membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk di kampungnya di Gerik, Perak: "Setakat ini saya boleh bahagikan masa untuk ketiga-tiga aktiviti ini kerana segalanya sudah disusun sejak awal. Contohnya musim tengkujuh akan beri kesan kepada penoreh getah dan pekebun di Gerik selama lebih sebulan. Jadi, saya kumpulkan anak-anak Gerik di perantauan untuk bantu.

"Yang mana rapat dengan mana-mana penaja, akan dapatkan beras untuk dihantar kepada seramai 130 keluarga yang layak menerima," tuturnya yang sudah berjaya mendapat tajaan beras daripada sebuah syarikat terkenal dan sedang menguruskan lori untuk datang mengambil dan membawa ke sana.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Zul Huzaimy


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: