23 October 2019

DIIJABKABUL 20 DISEMBER INI - FARAH NABILAH PILIH JURUTERBANG


"Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana merahsiakan perhubungan kami daripada pihak umum. Ini kerana ibu bapa saya tidak mahu saya terlalu menghebahkan kerana perkara yang masih belum pasti. Bila dah masuk fasa lebih serius seperti ini baharulah saya maklumkan kepada umum. Kami diperkenalkan oleh kawan baik saya, Izara Aishah sejak tujuh tahun lalu.





"Pada mulanya saya jual mahal tetapi dia tidak berputus asa dan akhirnya dapat menambatkan hati saya," demikian kata pelakon yang menempa populariti menerusi drama bersiri, 'Titian Cinta', Farah Nabilah yang mendedahkan bakal menamatkan zaman gadisnya dengan juruterbang, Mohammed Amirul Yunus, 28, pada 20 Disember ini yang difahamkan akan diadakan di sekitar Lembah Klang dan akan dimaklumkan lagi selepas ini.

Menurut Farah, 27, selain upacara akad nikah, mereka turut diraikan dalam dua majlis resepsi iaitu sebelah pengantin lelaki pada 28 Disember, disusuli pihak perempuan pada 5 Januari depan. Bercerita mengenai detik pertemuan dengan bakal suaminya itu, Farah berkata, mereka diperkenalkan oleh sahabat baiknya yang juga seorang pelakon Izara Aishah.

"Pada awal perkenalan sekitar tujuh tahun lalu, saya memang tidak begitu melayannya kerana ketika itu, saya masih patah hati. Walaupun Izara cuba memujuk, saya tetap berkeras. Namun, sifat sabar dan tidak putus asa Amirul serta cara dia melayan kedua-dua orang tua saya, akhirnya membuka pintu hati saya untuk menerimanya sebagai teman hidup," katanya.

Klik untuk gambar besar


Pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu berkata, selama ini, dia merahsiakan hubungan mereka bukan kerana bimbang popularitinya terjejas: "Memang sejak dahulu lagi, saya kurang selesa berkongsi perkara peribadi. Lagipun, saya lebih suka peminat fokus dengan kerjaya saya.

"Apabila hubungan kami sudah sampai tahap serius dan yakin untuk melangkah ke fasa seterusnya, baru saya berani mengumumkannya," jelas pelakon drama 'Kau Yang Pertama' dan 'Cik Reen & Encik Ngok Ngek' dalam satu sidang media khas.

Dalam pada itu, Amirul berkata senyuman manis Farah menambat hatinya untuk berkenalan dengan lebih rapat denga aktres tersebut: ""Saya sangat sukakan senyumannya. Dia senyum sangat cantik dan itu yang membuatkan saya terpikat. Saya tertarik dengan senyuman Farah dan selepas berkahwin saya tidak halang dia untuk teruskan kerjaya seni," ujarnya yang menerima dan memahami kerjaya Farah sebagai pelakon kerana lumrah kehidupan selebriti.



Ditanya mengapa dia berahsia mengenai kisah cintanya, Farah berkata, dia mahu fokus kepada kerjaya lakonannya terlebih dulu. Farah juga sangat mengutamakan restu keluarganya dan memastikan Amirul berjaya mendapat restu daripada mereka terutama ibu bapanya.

Farah berkata, dia juga mengambil kira pandangan ibu bapa dan keluarga yang menasihatkannya supaya tidak berkongsi kisah peribadi dengan peminat: "Restu keluarga paling utama buat saya dan bakal suami berjaya memperolehnya dengan usaha bersungguh mengenali dan mendekati ibu bapa saya," tuturnya yang lebih selesa apabila peminat lebih memberi perhatian kepada kerjayanya berbanding hal peribadi.

Farah dan bakal suaminya juga menjadi pasangan mempelai pertama yang bakal ditampilkan dalam portal terbaru di bawah jenama program perkahwinan popular TV3, Mahligai Cinta, selain beberapa segmen program wanita lain.


www.myartis.com / Sumber: Rotikaya, Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: