07 October 2019

ISU JUARA HAN-BYUL DIPERTIKAI - SITI NURHALIZA TAMPIL 'BIDAS'


Ramai netizen yang meluahkan rasa tak puas hati dan mempertikaikan kejuaraannya penyanyi yang berasal dari Korea, Han-Byul, 29, di pentas Big Stage 2019 yang berlangsung semalam. Dek kerana itu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang selaku juri tetap program tersebut itu tampil 'membidas' dengan berkata kemenangan Han-Byul tidak seharusnya dijadikan isu berikutan pertandingan itu menilai bakat setiap peserta.





Menurut Siti, tiada istilah mengutamakan penyanyi luar sehingga mengabaikan anak seni tempatan kerana kesemua mereka bertanding atas satu misi yang sama dan dalam pertandingan wujud persaingan serta ia akan memberi cabaran kepada peserta lain untuk bersaing.

"Bagi saya muzik ini universal, kita mempertaruhkan bakat serta boleh berkongsi. Buat apa kalau kita buka peluang kepada negara lain tetapi tetap ingin menangkan peserta daripada negara sendiri. Itu tidak ada persaingan namanya. Persaingan yang sihat adalah apabila kita menilainya dengan telus.

"Ia juga boleh menjadi salah satu cabaran dan semangat bagi artis-artis tanah air kita untuk belajar. Bagi saya Big Stage ini terbuka untuk kesemua peserta dan kita juri yang telah diberi tanggungjawab akan menilai setiap peserta dengan bakat yang mereka tunjukkan," kata Siti ketika ditemubual selepas tamatnya konsert akhir Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Klik untuk gambar besar


Pelantun lagu 'Anta Permana' itu akui lagu yang dinyanyikan Han-Byul pada malam itu bukan kekuatannya namun pujian harus diberikan, melihat kepada kesungguhan yang telah Han-Byul dipamerkan: "Saya memilih untuk memberi markah yang tinggi bagi persembahan pertama Han-Byul kerana setiap minggu macam-macam sudah dilakukannya.

"Dia sudah menyanyikan lagu balada, rock dengan cara yang betul dan bagus bagi saya. Cuma malam ini lagu tersebut bukan kekuatannya namun saya tetap bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan. Dia sudah membuktikan dia seorang yang sangat kreatif dalam menjiwai setiap lagu," tambahnya lagi.

Sementara itu, Siti berkata pengalamannya menyertai pertandingan nyanyian di luar negara sehingga berjaya meraih kemenangan adalah atas pernilaian bakat dan bukan dipengaruhi faktor lain: "Macam pengalaman saya dengan Misha Omar (juri jemputan untuk konsert akhir Big Stage 2019), kita pernah pergi bertanding di satu pertandingan nyanyi di Shanghai, China dan kami berlawan dengan peserta tempatan. Tapi disebabkan mereka (juri) menilai lagu itu secara telus... saya dan Misha dipilih menjadi juara, jadi dalam hal ini tak ada masalah siapa yang jadi juara, meskipun orang luar," ujarnya


www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: