16 October 2019
"JANGAN AMBIL KESEMPATAN.." - SITI NURHALIZA KESAL BANYAK AKAUN PALSU AAFIYAH
Menerusi entri di laman Instagram, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza telah melahirkan kebimbangan apabila terlalu banyak akaun palsu menggunakan nama anaknya, Siti Aafiyah muncul di Instagram. Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 40, berkata, perkara itu disedari selepas dimaklumkan peminat dan lebih mengecewakannya, sebahagian daripada akaun itu diwujudkan untuk meraih keuntungan.
"Terlalu banyak akaun menggunakan nama Aafiyah hingga membuatkan orang ramai keliru. Malah, ada akaun yang menggunakan nama Aafiyah untuk menjual produk, sedangkan saya tidak menjalankan perniagaan dimaksudkan," katanya.
Melihat keadaan itu, Siti memohon kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan menggunakan nama anaknya untuk menjana pendapatan. Penyanyi lagu 'Anta Permana' itu juga meminta peminatnya supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan akaun laman sosial palsu yang menggunakan identiti anaknya.
"Saya memohon sangat, jangan ambil kesempatan, apatah lagi kini terdapat beratus-ratus akaun yang diwujudkan atas nama Aafiyah. Saya ingin tegaskan, Aafiyah tidak mempunyai akaun Instagram dan saya berharap orang ramai tidak terpedaya. Jika mahu berniaga, lakukan dengan jujur dan jangan salah gunakan nama Aafiyah," tutur Siti yang mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006 dan dikurniakan anak perempuan, Siti Aafiyah yang kini berusia setahun.
Klik untuk gambar besar
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Siti Nurhaliza
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment