19 October 2019

KERETA KEMENANGAN ABPBH 32 - MIRA FILZAH HADIAHKAN KEPADA KELUARGA


"Selain faktor saya sudah ada dua kenderaan, tujuan saya menghadiahkan kereta ini adalah kerana mahu berkongsi rezeki dengan keluarga. Mereka banyak memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya selama ini. Kebetulan Nissan X-Trail 2.0L Hibrid yang saya menang ini ada ruang luas, jadi memang sesuai kami sekeluarga guna untuk ke mana-mana," ujar pelakon Mira Filzah selepas menerima kereta Nissan X-Trail 2.0L Hibrid yang dimenangi di galeri jualan dan servis ETCM.





Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, memberitahu dia mahu menghadiahkan kenderaan tersebut kepada keluarga. Menerima kenderaan bernilai RM159,888 sumbangan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd, semalam, Mira berkata, dia mahu berkongsi rezeki dengan insan tersayang.

Mira mengaku niat menyerahkan kereta itu kepada keluarga, terdetik sebaik sahaja diumumkan sebagai Bintang Paling Popular. Pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian 'Cinta Si Wedding Planner' ini menyifatkan, kereta dimenangi sesuatu yang bermakna dan memiliki nilai sentimental.

"Setiap kali bila saya melihat kereta ini, ia akan mengingatkan saya kepada kerja keras dan sokongan peminat yang meletakkan saya ke tahap sekarang. Hadiah ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki mutu kerja dan memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya.

Klik untuk gambar besar


Mira ketika ditemui berkata, kereta itu tidak akan dijual kerana hadiah berkenaan adalah hasil usaha dan sokongan peminat yang tidak pernah jemu mengundinya: "Insya-Allah, saya tidak akan jual kereta kemenangan kerana ia ada nilai sentimental.

"Hadiah kemenangan ini pun saya dapat hasil undian peminat. Ini adalah titik peluh mereka yang mengundi saya. Saya sudah ada kenderaan sendiri sebab itulah jadikan hadiah ini sebagai kereta keluarga. Sesiapa pun boleh guna. Tambahan pula bonet luas dan boleh letak banyak barang," tuturnya.

Mira menerima hadiah itu daripada Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi Pemasaran ETCM, Phang Rick Kee dan Ketua Pematuhan Sasaran Jualan Wilayah Tengah ETCM, Yeoh Hee Huat. Majlis penyerahan itu disaksikan Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. Yang turut hadir Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Pada malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September lalu, Mira diumumkan Bintang Paling Popular dengan meraih 6,320,463 undian. Mira turut merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular serta kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular menerusi 'Pujaan Hati Kanda'.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: