19 October 2019

"TIDAK ADIL SALAHKAN ALIFF" - BELLA BERSYUKUR REZEKI MURAH LEPAS CERAI


"Saya anggap peluang yang datang ini sebagai rezeki dan tuah anak. Tidak adil untuk salahkan Aliff kerana hidup ini ibarat putaran roda. Mungkin hari ini saya di atas, tetapi esok lusa, saya tidak tahu apa nasib diri. Saya juga tidak sempurna.





"Apabila saya terus memberikan kata semangat dan dorongan kepada Aliff, ia bukan bererti saya kuat. Saya cuba berusaha membantunya apa yang termampu. Saya percaya, jika kita berbuat baik kepada orang lain, Insya-Allah, kebaikan akan kembali datang kepada kita," ujar pelakon Bella Astillah.

Andai dahulu, rutin hariannya padat menguruskan rumah tangga dan kerjaya seni bekas suami, namun kini segala-galanya berubah. Bella, 25, yang bercerai dengan bekas suaminya, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz pada 16 Mei lalu terpaksa bekerja keras mencari rezeki membesarkan anak tunggalnya, Mohamad Ayden Adrean.

Tidak pernah diduganya, perpisahan membuka ruang untuk dia kembali aktif dalam bidang seni apabila meraih pelbagai tawaran berlakon. Meskipun ada yang menganggap, peluang diraih sebagai ganjaran terhadap kesabarannya selama ini, Bella berkata, tidak adil jika orang ramai terus menyalahkan bekas suaminya.

Klik untuk gambar besar


Tegas Bella atau nama penuhnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, dia mahu terus berfikiran positif, apatah lagi kini menggalas tanggungjawab membesarkan Ayden: "Alhamdulillah, rezeki saya murah dalam bidang lakonan dan Aliff juga terkejut dengan perkembangan ini. Tetapi, dia tahu, saya memang meminati bidang seni sejak kecil.

"Selepas berkahwin, saya tinggalkan minat dan fokus menjadi isteri dan menguruskan kerjayanya. Namun, saya perlu kuat menjalani hidup sebagai ibu tunggal. Alhamdulillah, saya bertuah mendapat sokongan mama dan ayah. Begitu juga pengikut di Instagram yang sentiasa memberikan nasihat supaya saya tidak mengalah ketika berdepan ujian hebat," katanya.

Ditanya mengenai jodoh, kakak kepada penyanyi Didi Astillah itu berkata, dia tidak mahu terburu-buru memikirkan perkara itu: "Sukar untuk saya mulakan hubungan baharu. Saya juga bukan jenis yang mudah menerima kehadiran orang baharu, apatah lagi saya semakin selesa dengan kehidupan sebagai ibu tunggal. Biarpun tanpa suami di sisi, hidup saya tidak kosong kerana keluarga sentiasa ada bersama," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Bella Astillah & Aliff Aziz


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: