12 October 2019

NATASHA HUDSON: "KENAPA PERLU TUNGGU JIKA TIADA BAHAGIA MENANTI"


Mengulas berita perceraiannya dengan usahawan, Nor Nashiq Sekarnor seperti dilaporkan media, baru-baru ini, pelakon Natasha Hudson berkata, dia sedaya mungkin cuba mempertahankan mahligai yang dibina daripada musnah, malah sentiasa bersabar mengharungi setiap dugaan.





"Sepanjang sembilan bulan berkahwin, saya melalui saat sukar apabila rumah tangga kami sering dilanda konflik yang sangat rumit. Apabila tiada lagi jalan penyelesaian, saya ambil keputusan berpisah untuk kebaikan kedua-dua pihak.

"Ramai yang menasihatkan supaya saya bersabar kerana alam rumah tangga banyak cabaran. Saya sudah puas bersabar, malah mencuba sebaik mungkin mempertahankannya. Namun, jika apa yang kita lakukan itu adalah sia-sia, lebih baik kita pergi. Kenapa perlu tunggu jika sudah tahu tiada bahagia yang menanti?

"Cukuplah apa yang terpaksa saya lalui selama ini. Saya kena fikir diri dan anak. Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah wanita yang sanggup meratap dan merintih, walaupun hakikatnya mereka tidak bahagia. Saya kena bangkit dan kuatkan semangat serta teruskan kehidupan tanpa perlu menoleh ke belakang," tegas pemilik nama lengkap Natasha Liana Hudson yang melangsungkan perkahwinan dengan Noor Nashiq pada 7 Disember tahun lalu sebelum mengambil keputusan bercerai itu.

Klik untuk gambar besar


Tidak serik berkahwin lagi, namun kata pelakon yang popular menerusi filem 'Chermin' itu, buat masa ini pintu hatinya belum terbuka menerima kehadiran mana-mana lelaki untuk dijadikan teman hidup: "Tidak dinafikan, ada lelaki yang mencuba nasib dengan menghantar mesej peribadi di media sosial. Namun, saya tidak mahu ambil serius.

"Dahulu, mungkin saya terlalu mengharapkan kehadiran lelaki sehingga setiap kali lepas bercerai, saya akan mencari pengganti. Kali ini, saya tidak mahu ulangi kesilapan serupa. Biarlah saya belajar mencintai diri terlebih dahulu, sebelum mencintai orang lain. Saya mahu fokus pada keluarga, anak, teman, perniagaan dan kerja kemanusiaan yang saya jalankan," jelas Natasha tanpa mendedahkan butiran perceraian mereka.

Terdahulu, Natasha pada Oktober lalu, membuat pengakuan sudah berpisah dengan suami ketiganya yang juga bekas penyanyi hip-hop, Carleed Khaza atau nama lengkapnya Khalid Kamal selepas hampir tujuh tahun hidup bersama. Hasil perkahwinan yang didirikan pada 15 April 2012, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila dan Faatimah.

Natasha juga dikurniakan anak perempuan, Neesa Helena menerusi perkahwinan keduanya dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007. Perkahwinan itu, bagaimanapun hanya bertahan selama dua tahun. Sebelum itu, pada 2006, Natasha berkahwin dengan Mohd Faiz Mohd Raih, namun berpisah selepas empat bulan.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Natasha Hudson


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: